suria

Radar TUDM Rakam Penuh Nahas Hawk 108

Affendi mendengar taklimat daripada Ketua Penyiasatan Nahas Pesawat Tempur Hawk 108 Left Kol John Sham ketika melawat lokasi nahas pesawat tempur yang terhempas di Kampung Yak Yah pada Isnin. fotoBERNAMA

KEMAMAN: Radar pengesan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merakam penuh tragedi nahas pesawat Hawk 108 sehingga ke saat akhir ia terhempas, kata Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Beliau berkata radar pengesan itu digunakan pada hari penerbangan pesawat Hawk pada Khamis lepas, sebelum nahas itu berlaku.

"Dari segi aspek penyiasatan, TUDM telah memperoleh bukti awal daripada radar pengesan dan masih terlalu awal untuk kami membuat kesimpulan dengan apa yang sebenarnya berlaku.

"Di lokasi nahas, TUDM berjaya menjumpai kedua-dua kerusi anjal pesawat Hawk dan bahagian besar bangkai pesawat itu yang tidak tertimbus di kawasan paya," katanya pada sidang berita ketika meninjau kawasan nahas pesawat Hawk di Kampung Yak Yah di sini, Isnin.

Affendi berkata selepas memperoleh komponen pesawat itu, TUDM membuat lakaran kasar untuk menentukan kemungkinan keadaan sebenar pesawat itu terhempas di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, bagi memastikan siasatan itu dijalankan dengan sistemaik dan profesional, TUDM meminta kerjasama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) dan pihak pembuat pesawat Hawk bagi mendapatkan gambaran sebenar punca kejadian.

Ditanya sama ada pesawat itu telah menjalani pemeriksaan sebelum ia beroperasi, beliau menjelaskan bahawa pesawat itu sudah keluar daripada ''routine maintainance check'' iaitu tempoh pemeriksaan selama 500 jam dan mempunyai jadual penyelenggaran.

"Selepas tamat tempoh terbang 500 jam, pesawat ini akan masuk untuk ''minor servicing'' (penyenggeraan kecil) di mana ia perlu dibuat ''functional check flight'' (penerbangan pemeriksaan fungsian) sebelum jurutebang berkelayakan menerbangkan pesawat itu untuk sesi penerbangan seterusnya," katanya.

Affendi berkata pesawat itu telah membuat penerbangan pertama pada Selasa lepas dan TUDM mendapati ia mengalami sedikit kerosakan dan telah dibaiki serta diterbangkan semula pada Rabu lepas.

"Waktu pesawat itu diterbangkan pada Rabu lepas, ia diisytiharkan sebagai pesawat yang telah menjalani pemeriksaan baik dan memenuhi aspek teknikal penerbangan," katanya.

Mengenai status operasi pesawat Hawk 108 dan 208 yang lain, Affendi berkata buat masa ini TUDM menggantung operasi kedua-dua pesawat berkenaan sehingga kes itu diselesaikan.

Ditanya mengenai cabaran operasi mengeluarkan bangkai pesawat nahas itu, beliau berkata TUDM menghadapi kesukaran apabila lubang nahas rangka utama pesawat itu sentiasa ada mata air.

"Kawasan lokasi berpaya ini mempunyai ''water table'' (muka air tanah) yang tinggi, maka, apabila kami menggunakan jentera untuk mengeluarkannya, mata air akan mengisi semula lubang nahas yang didalamnya masih terdapat rangka utama pesawat itu.

"Kor Jurutera dari Rejimen Askar Jurutera Diraja akan membina laluan kayu balak bagi membawa masuk jengkaut untuk mengeluarkan rangka utama pesawat itu hari ini," katanya.

Tragedi nahas itu mengorbankan dua juruterbang TUDM, Mejar Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada 11 pagi Khamis sebelum terputus hubungan setengah jam kemudian.

Mayat kedua-dua mangsa ditemukan pada 2.30 petang di hutan paya Kampung Yak Yah pada hari sama. - BERNAMA

Hawk 108

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain