suria

Daftar Anak Dalam Tempoh 60 Hari

JOHOR BAHRU: Setiap pasangan yang dikurniakan cahaya mata perlu segera mendaftarkan anak mereka bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan secara automatik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kelewatan pendaftaran kelahiran merupakan salah satu punca yang dikesan dalam permohonan MyDaftar yang dilaksanakan kepada masyarakat berketurunan India di Malaysia yang membuat permohonan kewarganegaraan.

"Jadi kita menasihatkan mana-mana pasangan yang dapat anak terus daftarkan anak di dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran kerana lebih daripada tempoh tersebut mereka boleh dikenakan denda selain merumitkan urusan untuk mendapatkan kewarganegaraan secara automatik.

"Anak yang lewat didaftarkan terpaksa mendapat kewarganegaraan secara kurniaan di bawah Seksyen Taraf Kewarganegaraan Perkara 15(1). Perkara akan lebih rumit lagi sekiranya ibu bapa tidak mempunyai dokumen perkahwinan atau anak dilahirkan luar nikah, atau salah satu daripada pasangan tersebut adalah warga asing," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Projek Hab Percetakan Teragih (DPP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Johor di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini Khamis.

Menurut Nur Jazlan, ada dalam kalangan pemohon MyDaftar juga merupakan anak angkat yang tidak mempunyai dokumen yang lengkap.

"Bila mereka jadi anak angkat, proses dokumentasi itu ada yang kurang jadi akan sulit untuk memproses taraf kewarganegaraan mereka. Tetapi walaubagaimanapun kita tetap akan proses dan teliti setiap permohonan sebelum kita ajukan kepada budi bicara Menteri Dalam Negeri untuk membuat keputusan samada mereka boleh dikurniakan kewarganegaraan di bawah Seksyen Taraf Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15(1).

"MyDaftar ini dikendalikan oleh Special Indian Task Force (SITF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang akan memproses permohonan di 23 pejabat JPN yang disenaraikan bermula daripada 5 hingga 22 Jun 2017," jelasnya.

Katanya, sehingga kini JPN telah menerima sebanyak 466 permohonan dari seluruh negara selain menyeru agar lebih ramai masyarakat India yang mempunyai masaalah dokumentasi untuk tampil.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata Hab DPP yang dirasmikan pada hari ini akan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Johor dalam urusan berkaitan permohonan kad pengenalan.

"Melalui pelaksanaan projek ini, sebanyak 36 daripada 55 pejabat DPP dijadikan Hab DPP yang akan mencetak permohonan MyKad daripada pejabat-pejabat JPN berdekatan (Sub Hab) berjumlah 157 pejabat yang sebelum ini dicetak di Ibu Pejabat JPN.

"Tempoh serahan MyKad pejabat Sub Hab dapat dipendekkan dari 10 hari bekerja kepada lima hari bekerja bagi pejabat-pejabat di Semenanjung dan dari 30 hari bekerja kepada tujuh hari bekerja bagi pejabat-pejabat di Sabah dan Sarawak," jelasnya.

Pelaksanaan Hab DPP di Negeri Johor melibatkan sebanyak empat DPP daripada lima DPP yang telah dijadikan Hab DPP iaitu Hab JPN Negeri Johor, Hab JPN Batu Pahat, Hab JPN Kota Tinggi dan Hab JPN Kluang.

Setiap hab ini akan membuat cetakan bagi permohonan MyKad daripada 14 buah Sub Hab yang terdapat di dalam negeri Johor iaitu Kulai, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Johor, Pasir Gudang, Rengit, Segamat, Labis, Bandar Penawar, Pontian, Mersing, Simpang Renggam dan Yong Peng, kecuali permohonan dari tiga Sub Hab di Pagoh, Muar dan Tangkak yang akan dicetak di JPN UTC Melaka berikutan jarak yang lebih dekat. - BERNAMA

MyDaftar, KDN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain