suria

Tiga Exco PAS Kekal Di Selangor

Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM: Tiga anggota Exco Selangor daripada PAS dikekalkan demi kestabilan kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, meskipun parti Islam itu telah menamatkan kerjasama politik dengan PKR, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata keputusan untuk mengekalkan ketiga-tiga anggota Exco itu dibuat selaras dengan mandat yang diberi oleh rakyat Selangor kepada PAS-PKR-DAP, atas nama Pakatan Rakyat, pada PRU lepas.

"Keputusan ini dibuat setelah saya beri penjelasan kepada Biro Politik (PKR) berhubung situasi semasa di Selangor. Kita juga telah teliti semua maklum balas dan merasakan kestabilan negeri merupakan satu perkara yang amat penting menjelang PRU akan datang.

"Oleh kerana mandat yang diberi kepada PAS-PKR-DAP atas nama Pakatan Rakyat itu masih legitimate (sah) dalam PRU13, maka kita meneruskan mandat ini untuk beri khidmat kepada rakyat dan keputusan ini dibuat secara sebulat suara semalam," kata Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, kepada pemberita selepas menghadiri program menyemarak Ramadan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Pada Selasa, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan parti itu memberi bayangan bahawa tidak berlaku sebarang perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor selepas Mohamed Azmin menemui tiga anggota Exco PAS berkenaan.

​​​​​​​Dr Wan Azizah dilaporkan berkata Biro Politik PKR bersetuju dengan pendekatan Mohamed Azmin untuk menjamin kestabilan kerajaan negeri menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU13.

Tiga exco PAS di Selangor ialah Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Datuk Dr Ahmad Yunus (Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi); serta Zaidy Abdul Talib (Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani).

Mohamed Azmin berkata tumpuan kini seharusnya diberi kepada persiapan untuk menghadapi PRU14.Pada 11 Mei, Majlis Syura Ulama memutuskan bahawa PAS menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR, yang menerajui kerajaan Selangor, selepas Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah bulan lepas meluluskan usul supaya pimpinan tertinggi parti menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti apabila PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka. -Bernama

PAS, PKR, Azmin Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Malang Tidak Berbau...

Artikel Lain