suria

Cipta Jenama Minyak Sawit Malaysia

KETIKA Malaysia memasuki abad kedua penanaman kelapa sawit secara komersial, Pengarah Urusan Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Datuk Franki Anthony Dass memberi amaran bahawa cabaran yang dihadapi industri itu hanya akan terus meningkat.

Bagi menghadapi permintaan yang semakin meningkat terhadap industri itu, beliau berkata Malaysia perlu bekerja ke arah mewujudkan satu jenama minyak sawit terkenal milik negara ini yang akan diterima sebagai pilihan utama pelanggan global.

“Inilah yang perlu kita usahakan. Jenama Malaysia perlu dilihat sebagai pembekal pilihan bagi minyak dan produk berasaskan minyak sawit yang diiktiraf di dunia," katanya.

Sejak kebelakangan ini, timbul kempen anti minyak sawit yang memuncak dan beberapa cadangan perlindungan dan cukai diskriminasi ke atas produk itu di beberapa negara di Barat.

Namun Franki menegaskan Malaysia sudah berada di landasan yang betul ke arah membina reputasi yang baik bagi minyak dan produk berasaskan minyak sawit di pasaran global.

Awal tahun ini, media sosial dihujani dakwaan bahawa penyakit kanser berpunca daripada penggunaan minyak sawit di dalam lepa coklat, Nutella keluaran syarikat Itali, Ferrero S.p.A.

Isu utama berkaitan kehadiran 3-monochloropropanediol (3-MCPD) dan ester Glycidyl (GE) dalam minyak sawit.

Hasil kajian menunjukkan dua elemen itu turut hadir bukan sahaja dalam minyak sawit tetapi semua minyak dan lemak lain termasuk minyak zaitun.

Ferrero dalam reaksi balasnya terhadap dakwaan itu mempertahankan minyak sawit dengan menyatakan produk utama mereka bergantung kepada minyak sawit dari Malaysia untuk rasa, kualiti dan penerimaan pengguna.

Ferrero juga mendedahkan bahawa minyak sawit lestari dari Malaysia yang diiktiraf mempunyai hampir sifar kandungan 3-MCPD and GE.

Minyak Sawit Diiktiraf Untuk Semua

Bagi meningkatkan lagi standard minyak sawit jenama Malaysia, Frank menegaskan kepentingan semua pekebun kecil yang terlibat dalam penanaman kelapa sawit yang diperakui untuk menghasilkan minyak sawit lestari.

“Pada masa ini, syarikat perladangan terbesar semuanya diperakui RSPO.  Kini golongan pekebun kecil yang perlu dibantu,” katanya.

Dalam usaha ke arah itu, Skim Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) boleh memainkan peranan untuk memastikan ia menjadi realiti.

“Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) perlu menggandakan usaha untuk memperakui semua pekebun kecil dan syarikat perladangan berskala kecil di negara ini.

“Selepas itu, kita boleh tampil mengisytiharkan bahawa minyak sawit Malaysia lestari dan diperakui.

“Itu adalah satu aspek jenama Malaysia yang saya perkatakan," katanya.

Untuk mewujudkan jenama minyak sawit Malaysia, Franki berkata transformasi dan inovasi adalah dua keperluan kritikal.

"Ini adalah visi kami untuk tempoh 100 tahun akan datang.

"Untuk menjadi pembekal pilihan global kerana minyak sawit kita berkualiti tinggi dan dihasilkan secara lestari.

"Kita boleh terus mengekalkan 60% kawasan hutan di negara ini kerana kita tidak perlu membersihkan mana-mana kawasan baharu dengan bahan-bahan berhasil tinggi dan pekebun kecil kita boleh meningkatkan taraf hidup mereka," jelas Franki.

Malaysia mempunyai dasar mengekalkan 60% daripada hutan semula jadinya.

"Satu-satunya cara kita boleh meningkatkan pengeluaran tanpa membersihkan kawasan baharu adalah dengan menghasilkan bahan-bahan yang memberi pulangan tinggi," katanya.

Franki menjelaskan bahawa golongan petani di dunia Barat lebih maju dan dilengkapi jentera dan inilah hala tuju yang perlu diharungi industri di Malaysia.

Dengan memastikan amalan kelestarian di setiap rangkaian yang bernilai, Franki berkata Malaysia boleh menutup mulut pengkritik.

"Tidak boleh wujud pelanggaran hak asasi manusia seperti tenaga buruh kanak-kanak atau hamba moden iaitu kita tidak boleh dituduh dengan perkara seperti itu.

"Minyak sawit perlu ditanam dibawah persekitaran yang lestari dan boleh dikesan.

"Kerajaan perlu campur tangan untuk mengawal selia dan menguatkuasakan semuanya sekarang."Sokongan kerajaan kepada industri ini adalah kritikal ketika kita melangkah ke 100 tahun akan datang.

"Ini adalah di mana Malaysia boleh mencipta nama dan jenama minyak sawit bersifat mesra alam," katanya.

Perladangan Masa Hadapan

Franki menjelaskan perladangan pada masa hadapan perlu bebas karbon atau neutral, amat produktif, kos efisien dan lestari sepenuhnya, dalam usaha untuk mengurangkan cabaran industri yang dihadapi ketika ini iaitu permintaan mesra alam, ragam harga MSM, pemanasan global, kekuarangan tenaga kerja dan lain-lain lagi.

"Operasi ini akan menggunakan jentera sepenuhnya dan automatik dengan penggunaan drone, sensor canggih dan teknologi digital serta jentera dan peralatan mesra pengguna sekali gus menjadikan perladangan lebih cekap dan tempat kerja yang menarik," katanya.

Kemajuan teknologi dan digital akan digunakan secara rutin untuk memantau kualiti sawit, status nutrisi dan operasi sokongan dengan keperluan tenaga kerja yang minimum.

Jejak karbon, katanya, perlu dikurangkan bagi setiap tan CPO yang dihasilkan.

"Industri minyak sawit mesti berupaya untuk dikatakan sebagai mempunyai kesan minimum karbon, sifar penebangan hutan, tiada penanaman baharu di atas tanah gambut dan pelepasan gas rumah hijau yang lebih rendah daripada kilang dan kilang penapis minyak sawit.

"Tumpuan terhadap pemuliharaan air melalui novel water capturing dan teknologi penyimpanan seperti wap air penuaian dan penyimpanan air bawah tanah yang berlebihan akan mengukuhkan pentauliahan industri minyak sawit.

Proses pengilangan dan penapisan yang belum pernah menyaksikan peningkatan teknologi selama ini juga perlu diubah.

Dengan penggunaan teknologi, pelepasan mentana dari kilang boleh ditukar kepada tenaga boleh diperbaharui untuk digunakan menjalankan operasi di kilang dan menyediakan bekalan elektrik bagi operasi lain, kawasan bandar dan grid nasional.

"Kilang kita juga perlu direka untuk memaksimumkan tenaga, kecekapan dalam penggunaan air dan ke arah teknologi sifar pelepasan.

Lebih canggih dan moden teknologi pengilangan, katanya akan memastikan kecekapan pengekstrakan maksimum, meminimakan kerugian minyak dan mewujudkan keadaan kerja yang optimum di kalangan pekerjanya sekali gus memastikan produktiviti yang tinggi.

Inovasi baharu dan produk yang berbeza juga akan memberi manfaat kepada penapisan untuk menghasilkan margin produk dan pelanggan yang lebih tinggi serta kedudukan strategik dalam pasaran baharu.

Mengenai kos pengeluaran peladang, Franki berkata kos itu juga perlu diuruskan dengan baik bagi memastikan industri tidak terjejas setiap kali berdepan kejatuhan harga.

Industri minyak sawit Malaysia, katanya, perlu berusia untuk membina daya ketahanan, bukan sahaja keadaan cuaca yang melampau tetapi juga turun naik harga.

"Setiap kali kita dibelenggu harga rendah, semua orang menderita, terutama pekebun kecil dan petani.

"Jenama Malaysia perlu dihasilkan dengan baik supaya dapat bertahan dengan turun naik harga dan keadaan cuaca yang ekstrim," katanya.

Beliau berkata satu lagi bidang yang perlu diperbaiki dalam industri ini adalah strategi komunikasi.

Daripada bertindak balas hanya apabila diserang, Franki berkata industri ini perlu membuat perancangan ke hadapan dan menyebarkan maklumat strategik mengenai minyak sawit serta manfaatnya.

"Kita mesti sentiasa berada di hadapan dengan memberikan fakta dan mesej tepat mengenai minyak sawit daripada hanya memberikan tindak balas. Ia juga penting untuk mendekati generasi muda menggunakan media sosial dan sekolah-sekolah.

"Kita juga perlu lebih agresif. Pencapaian industri perlu terus diketengahkan," katanya.

Akhirnya, beliau berkata, seluruh industri minyak makan harus tertakluk kepada standard kelestarian dan pensijilan global.

"Tiada industri minyak makan lain berdepan banyak sekatan dan kelestarian permintaan seperti industri minyak sawit.

"Satu standard kelestarian global dan pensijilan terhadap semua minyak makan akan bergerak lebih ke hadapan.

"Itu satu lagi hasrat lain yang saya inginkan untuk industri ini," katanya.

Sime Darby, minyak sawit

Artikel Sebelum

Tak Ada Pelamin Pun OK!

Artikel Berikut

Artikel Lain