suria

Guru Meninggal Dunia Ketika Sambutan Hari Guru

Kamarul Azhar menyiram air di pusara isterinya, Naizura sambil ditemani anaknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap pada Selasa. fotoBERNAMA

PASIR MAS: Keriangan sambutan Hari Guru bagi warga Sekolah Kebangsaan Othman Talib 1, Tendong di sini, bertukar pilu apabila seorang warga pendidiknya meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Guru itu, Naizura Mohamed, 42, rebah di atas pentas ketika sedang membuat persembahan dikir barat bersama murid-muridnya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari, sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tendong di sini.

Insiden itu berlaku di hadapan kira-kira 700 hadirin termasuk murid, guru dan kakitangan sekolah.Guru besar sekolah itu, Zulhadi Mahamad berkata Naizura sempat diberi bantuan kecemasan namun disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Allahyarham yang sudah 12 tahun mengajar di sekolah itu mempunyai rekod sakit jantung dan pernah mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, katanya ketika dihubungi.

Zulhadi berkata sebelum acara bermula mangsa kelihatan letih dan rakan guru menasihatinya supaya berehat di bilik guru atau pulang ke rumah, namun allahyarham bertegas mahu meneruskan persembahan penutup bersama sekumpulan pelajarnya.

Allahyarham yang berasal dari Kampung Alor Durian di sini dan mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Perangkap di sini kira-kira pukul 6 petang Selasa.

Sementara itu, suami Allahyarham, Kamarul Azhar Ahmad, 44, ketika dihubungi berkata sebelum ke sekolah pagi ini, isterinya amat ceria dan bersemangat untuk meraikan sambutan Hari Guru di sekolahnya.

"Arwah pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2009 dan selepas itu tidak pernah sakit. Tidak kami sangka arwah isteri pergi di saat semua warga pendidik bergembira menyambut Hari Guru, " kata Kamarul yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas di sini.

Pasangan itu mempunyai empat anak berusia antara 12 dan 21 tahun.  - BERNAMA 

Hari Guru

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain