suria

Hanya Satu Laporan Diterima

KUALA LUMPUR: CyberSecurity Malaysia menerima satu laporan rasmi daripada institusi akademik dan beranggapan terdapat lebih banyak insiden yang tidak dilaporkan berhubung serangan global ''Ransomware WannaCry''.

Dalam satu kenyataan di sini Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Amirudin Abdul Wahab menggesa semua organisasi untuk berwaspada dan meneruskan tindakan yang perlu untuk melindungi dan menjamin infrastruktur rangkaian mereka daripada terjejas.

Agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu juga menasihatkan pentadbir sistem di setiap organisasi agar ''patch'' sistem komputer mereka dan mengingatkan pengguna agar sentiasa berwaspada dengan serangan Ransomware ini bagi menghalang mereka daripada klik e-mel mencurigakan.

Amirudin berkata serangan Ransomware bukanlah satu ancaman siber baharu kerana agensi itu sebelum ini telah menerima laporan berkaitan dengan Cryptolocker, Cryptowall, CBT Locker, Teslacrypt Locky dan beberapa jenis Ransomware.

"Ia disasarkan kepada pengguna individu dan perniagaan," katanya.

"Perisian berniat jahat ini menjangkiti komputer, mengunci dan ''encrypt'' fail di dalam komputer serta menghalang akses pengguna kepada sistem komputer sehinggalah wang tebusan dibayar kepada penghantar serangan untuk membuka kunci perisian itu.

"Antara kesannya ialah kehilangan data berharga, gangguan operasi organisasi dan reputasi serta kos tinggi yang ditanggung untuk proses pemulihan," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar orang awam mendapatkan maklumat tepat daripada sumber rasmi dan mengesahkan maklumat itu sebelum berkongsi melalui media sosial kerana terdapat banyak mesej palsu berkaitan Ransomware WannaCry yang telah tular.

Amirudin memberi jaminan bahawa CyberSecurity secara proaktif akan terus memantau keadaan semasa dan akan mengambil tindakan yang perlu dengan menyediakan bantuan teknikal kepada organisasi dan pengguna individu yang terjejas bagi pemulihan dan pencegahan melalui perkhidmatan Cyber999.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang serangan Ransomware dengan menghubungi pusat bantuan Cyber999 menerusi talian bebas tol 1-300-88-2999 atau telefon bimbit 0192665850, SMS aduan ke 15888 atau e-mel [email protected] atau [email protected]. - BERNAMA

Ransomware WannaCry

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain