suria

Elak Guna Kasut, Selipar Getah Naik Eskalator

ALOR SETAR: Pengguna eskalator dinasihatkan mengelak memakai kasut atau selipar getah lembut ketika menaiki eskalator untuk tujuan keselamatan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah Hazlina Yon berkata bahagian kasut atau selipar seperti itu bila terkena pada bahagian tepi eskalator menyebabkan ia mudah ditarik hingga membahayakan pengguna berkenaan dan boleh menyebabkan kemalangan.

Beliau berkata, jumlah kemalangan maut melibatkan lif/eskalator meningkat kepada tiga kes di seluruh negara tahun lalu daripada hanya satu kes pada 2015.

Hazlina bercakap pada program Keselamatan Penggunan Eskalator dan Lif 2017 (LIFE) yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor di pusat beli belah Aman Central, Ahad.

Hazlina berkata, syarikat penyelenggara lif perlu menjalankan penyelenggaran setiap bulan dan pemeriksaan oleh orang yang kompeten setiap tiga bulan.

Program LIFE anjuran JKKP dan Persatuan Lif dan Eskalator Malaysia (MALEA) adalah salah satu program di bawah strategi 3 Pelan Induk dan Kesihatan Pekerjaan, bertujuan menerangkan kepada kumpulan sasar mengenai keselamatan penggunaan lif dan eskalator.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan, Norsabrina berkata kegagalan memasang struktur ''anti climbing'' dan ''triangle'' pada eskalator merupakan dua kesalahan yang sering dilakukan pengurusan pusat membeli belah di negeri ini.

Katanya, melalui Operasi Selamat Penggunaan Eskalator oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri pada Februari hingga Jun tahun lalu, sebanyak 123 surat arahan dan 23 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan kepada operator pusat beli belah.

"Manakala pada tahun ini, JKKP telah melakukan pemeriksaan ulangan lif penumpang dan 56 ekskalator dari Januari hingga April, dan sebanyak 21 notis larangan serta 39 surat arahan telah dikeluarkan," katanya.

Menurutnya, di bawah portoflio beliau, sebuah jawatankuasa kecil akan diwujudkan yang mengkhusus kepada agenda khas mempromosi kempen kesedaran penggunaan eskalator dan lif di seluruh negeri. - BERNAMA

eskalator, selipar getah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain