suria

'Jangan Hidang Makanan, Hanya Bagi Air Sebotol'

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mencadangkan agar jabatan dan agensi kerajaan tidak menghidangkan makanan tetapi cukup sekadar menyediakan sebotol air minuman kepada hadirin dalam majlis anjuran mereka.

Beliau berkata ini bagi melatih rakyat mengamalkan pemakanan sihat.

"Pada peringkat permulaan, kita boleh mula dengan menyediakan sebotol air minuman kepada hadirin. Langkah ini selain dapat menjimatkan perbelanjaan, juga dapat mengelak pembaziran makanan," katanya sewaktu merasmikan Konvensyen Komuniti Sihat, Perkasa Negara (KOSPEN) peringkat negeri di Jabatan Kesihatan Negeri di sini Sabtu.

Beliau turut menasihatkan rakyat supaya mengubah budaya menyajikan makanan dengan banyak pada majlis kenduri.

Mengenai kes penyakit di Perlis, Azlan berkata Kajian Mobiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 mendapati Perlis merekodkan 35.4 peratus bagi prevalen hipertensi berbanding 39.8 peratus bagi peringkat kebangsaan.

Beliau berkata bagi prevalen diabetes pula, Perlis mencatatkan 20.6 peratus dan menduduki tempat kedua tertinggi selepas Kedah berbanding rekod kebangsaan 17.5 peratus, manakala bagi obesiti, Perlis mencatat 36 peratus (kebangsaan 30 peratus).

Bagi prevalen merokok yang berumur 18 tahun ke atas, Perlis mencatat 22.2 peratus berbanding rekod kebangsaan 21.8 peratus, katanya. - BERNAMA

Azlan Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain