suria

SPRM: Pengurus Projek TNB Direman Lima Hari

Dua individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan reman lima hari berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB di sekitar Kuala Lumpur semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu. Foto:Bernama

PUTRAJAYA: Dua individu termasuk seorang pengurus projek Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan tender pembekalan barangan pengubahsuaian pejabat TNB di sekitar Kuala Lumpur.

Tempoh reman berkuat kuasa hari ini hingga Ahad itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas mahkamah mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, kedua-dua suspek lelaki dan perempuan masing-masing berumur 55 dan 51 tahun itu ditahan oleh pasukan penguat kuasa SPRM di sebuah lokasi di Lembah Klang pada awal pagi ini.

Katanya, selaku pengurus projek, lelaki tersebut telah bertindak mengagihkan tender projek kepada kontraktor lain sedangkan ia sepatutnya diagihkan kepada syarikat-syarikat panel di bawah TNB.

Sebagai habuan di atas pemberian tender berkenaan, lelaki itu dikatakan telah menerima sebuah kereta BMW 5 Series daripada suspek, iaitu seorang wanita yang juga pemilik syarikat pengubahsuaian terbabit.Kerja-kerja pengubahsuaian tersebut dipercayai berlaku pada 2014 di beberapa pejabat TNB di Kuala Lumpur, kata jurucakap tersebut.-Bernama

Pengurus Projek, reman, tnb

Artikel Lain