suria

Malaysia Komited Perkukuh Hubungan Dengan Holy See

PUTRAJAYA: Hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan Holy See melambangkan komitmen negara untuk mengukuhkan lagi hubungan sedia ada kedua-dua negara terutamanya berhubung isu-isu agama.

Selain menggalakkan pemahaman agama yang lebih baik Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, langkah itu adalah selaras dengan inisiatif Malaysia melalui Gerakan Kesederhanaan Global.

"Malaysia percaya perlunya mengamalkan kesederhanaan sebagai elemen asas untuk memupuk integrasi, memastikan kehidupan yang aman dengan menolak ekstremisme yang merosakkan nilai-nilai sejagat agama," katanya semasa berucap merasmikan Canseri Kedutaan Malaysia di Holy See, Rom pada Selasa.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini.Perasmian Canseri Kedutaan Malaysia di Holy See diadakan selepas 11 bulan Duta Residen Pertama Tan Sri Bernard Dompok menyerahkan watikah pelantikannya kepada Paus Francis.

Majlis perasmian itu dihadiri oleh kira-kira 100 tetamu termasuk Penilai Hal Ehwal Holy See, Ketua Protokol Holy See, Ketua Kor Diplomatik Holy See serta anggota kor diplomatik.

Anifah berkata dengan penubuhan kedutaan residen di Rom, Malaysia dapat mengambil bahagian dan menyumbang kepada dialog dunia mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa terutamanya dalam menggalakkan pemahaman agama, pendidikan, pembasmian kemiskinan, penghijrahan serta perubahan iklim.

Satu daripada cabaran terbesar dunia hari ini adalah untuk memerangi kumpulan ekstremis yang berkembang luas di peringkat serantau dan antarabangsa, katanya sambil menegaskan bahawa ekstremisme adalah kanser kepada dunia kerana ia mencipta huru-hara dan ketidakstabilan politik di sesebuah negara.

"Kita menyaksikan dalam media tentang kesan dan huru-hara yang berpunca daripada perbuatan ekstremis. Ia tidak memberi sebarang manfaat pun. Malah, penderitaan orang yang tidak bersalah adalah amat menyedihkan dan membangkitkan kemarahan," katanya.

Anifah berkata penghapusan kebencian, kemarahan dan emosi yang sering digunakan kumpulan ekstremis untuk kepentingan mereka, adalah penting demi memastikan wujudnya keamanan dan keharmonian.

Sehubungan itu, beliau berkata permintaan bagi kesederhanaan adalah lebih relevan dan diperlukan pada masa ini berbanding sebelum ini.Anifah juga berkata Malaysia amat menyokong penggalakkan kesederhanaan sebagai cara hidup dan langkah bagi menyelesaikan salah faham masyarakat melalui dialog dan pendidikan.

"Usaha Malaysia untuk menggalakkan kesederhanaan telah mendapat pengiktirafan dengan ia dilihat sebagai model negara yang moden, dinamik dan progresif yang dapat menangani cabaran masyarakat pelbagai budaya," katanya.

Malaysia turut mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan pelbagai majlis-majlis Paus, organisasi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan dalam menganjurkan dialog dan seminar bagi meningkatkan kefahaman agama yang lebih baik pada masa depan, katanya. - BERNAMA

Holy See, Anifah Aman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Khairil Aslan Selamat Tiba

Artikel Lain