suria

Calon BN Wajib Isytihar Harta Sebelum PRU14

Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Semua calon Barisan Nasional (BN) wajib mengisytiharkan harta masing-masing sebelum diberi 'lampu hijau' untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang, kata Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, beliau berkata, mana-mana ahli parti atau wakil rakyat yang berpalit dengan skandal dan kes rasuah tidak sama sekali akan dibenarkan bertanding atas tiket BN. 

"Saya sendiri juga turut berbuat demikian (mengisytiharkan harta) sebelum saya menjadi wakil rakyat pada 2004.

"Kami akan menyiasat jika ada calon yang dikaitkan dengan rasuah dan sekiranya bebas daripada dakwaan rasuah, kami akan membenarkan calon berkenaan bertanding," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival KL Xtravaganza dan pusingan kedua Kejohanan SuperMoto Malaysia *(MSMC) di Taman Tasik Permaisuri, Cheras, di sini Sabtu.'

Tengku Adnan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika diminta mengulas seruan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad kepada parti-parti politik untuk tidak meletakkan calon yang ada kes rasuah pada PRU-14.

Khamis lepas,  Dzulkifli menegaskan adalah penting untuk parti-parti politik bukan sahaja memilih calon yang benar-benar bebas dari sebarang sabitan atau kes rasuah tetapi pada masa yang sama menghantar isyarat yang jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain