suria

Pembangunan Bandar Malaysia Tidak Dihentikan

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

PUTRAJAYA: Pembatalan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia tidak mengugat rancangan jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan membangunkan Bandar Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau ketika mengulas pembatalan urus niaga SSA itu berkata kerajaan akan mempelawa syarikat-syarikat tempatan dan luar negara yang mempunyai pelan lebih menarik dan komprehensif untuk menjadi pemaju utama bagi projek pembangunan Bandar Malaysia.

"Kami dimaklumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat Kabinet bahawa pengganti syarikat akan dipelawa untuk menjadi pemaju utama atau pelabur baru untuk Bandar Malaysia. Saya tidak tahu secara terperinci," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Keiichi Ishii di pejabatnya di sini, Khamis.

Pada Rabu TRX City Sdn Bhd mengumumkan SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, terbatal berikutan kegagalan pihak pembeli menunaikan tanggungjawab pembayaran.

Dilaporkan konsortium IWH-CREC Sdn Bhd gagal membayar RM7.42 bilion untuk pengangan saham 60 peratus walaupun beberapa kali penangguhan diberikan sejak Disember 2015.

Menurut TRX City, Kementerian Kewangan akan terus mengekalkan pegangan 100 peratus hak di dalam Bandar Malaysia dan akan memastikan pembangunan aset hartanah itu benar-benar memberi faedah kepada rakyat Malaysia.

"Pembatalan perjanjian itu tidak akan menjejaskan rancangan kita, kita juga batalkan perjanjian itu. Beri kita sedikit masa untuk menyelesaikan perkara ini. Saya pasti Perdana Menteri sedang melihat semua pilihan yang ada," kata Abdul Rahman.

Bandar Malaysia berpotensi sebagai pemangkin baru untuk Kuala Lumpur dan negara, katanya dan menegaskan bahawa adalah penting pembangunan projek itu tidak dilaksanakan secara terburu-buru.

"Kalau perjanjian antara IWH-CREC dan TRX City tidak ke mana, itu adalah sebahagian daripada terma perjanjian tetapi kita perlu terus maju dari situ.

"Saya boleh memberi jaminan bahawa Bandar Malaysia akan menjadi sebahagian hartanah yang terbaik pernah dimajukan di Malaysia kerana sebahagiannya kerana terminal keretapi laju (HSR) ini akan bermula dari Bandar Malaysia," katanya. -Bernama

Bandar Malaysia, Rahman Dahlan, SSA

Artikel Sebelum

Artikel Lain