suria

Jurutera GLC Didakwa Terima Suapan Lebih RM40,000

KOTA BHARU: Seorang jurutera syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 16 pertuduhan menerima suapan dalam bentuk barangan dan wang tunai bernilai RM40,468.03.

Mohd Asrul Setapa, 31, yang mengangguk faham ketika kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi bermula 4 April 2016 hingga 22 Ogos 2016.

Mohd Asrul dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah selain menetapkan 14 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Kelantan Shahidah Muslimah Roslan manakala Mohd Asrul diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain