suria

SPRM Tahan Suami Isteri Terlibat Rasuah

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan Pengurus Besar sebuah anak syarikat Prasarana iaitu Project Technical Support Rapid Cheras Selatan kerana disyaki telah menyalahgunakan kedudukannya dan mengambil wang rasuah untuk kepentingan diri sendiri.

Suspek yang berusia 54 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berusia 50 tahun di ibu pejabat pada pukul 6.30 petang Rabu.

Berdasarkan maklumat hasil siasatan awal, suspek disyaki telah menerima wang rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.

Suspek dipercayai telah mengambil wang rasuah kira-kira RM500,000 sejak tahun 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan di bawah penyeliaannya.

Menurut sumber, wang rasuah yang diterima juga telah dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak tahun 2013.

Suspek lelaki itu juga dikatakan pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang yang juga merupakan anak syarikat Prasarana.

Kes tersebut akan disiasat mengikut seksyen 17 (a) ASPRM 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kedua-duanya akan direman pada Khamis untuk membantu siasatan kes tersebut.

SPRM, Prasarana, Pengurus besar

Artikel Lain