suria

Tangkapan Raja Dadah Kejayaan Buat Thailand-Malaysia

Seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Mr T yang dipercayai anggota kanan sindiket dadah antarabangsa ditahan polis Thai di Lapangan Terbang Hatyai Rabu lepas setibanya dari Chiang Rai. Foto: Bernama

IPOH: Penahanan dua raja dadah dari Malaysia  oleh pihak berkuasa Thailand minggu lepas merupakan satu kejayaan buat kedua-dua negara yang sentiasa mengadakan kerjasama dan pertukaran maklumat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata dengan tertangkapnya dua individu yang paling kekehendaki itu, ia dapat membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap anggota sindiket  di negara ini.

"Dua rakyat Malaysia itu  telah dikenal pasti oleh pihak narkotik Thailand sebagai antara 'tauke' dadah daripada  sindiket besar yang bertanggungjawab memesan bekalan dadah dari segi tiga emas melalui Thailand untuk diseludup ke Malaysia.

"Dengan maklumat yang diperolehi oleh pihak berkuasa Thailand, ia menjadi maklumat yang sangat berguna kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memusnahkan rangkaian kedua-dua raja dadah ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada  majlis serah terima tugas ketua polis Perak di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara, di sini, Selasa.

Pada Isnin, Bernama melaporkan suspek yang digelar sebagai Mr T atau Malaysian Iceman dari Johor Bahru dan Mr G dari Pulau Pinang ditahan pihak berkuasa Thailand minggu lalu dan mereka  dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Mr T, 64, yang tinggal di Thailand kira-kira 20 tahun dan fasih berbahasa Thai diberkas polis Thailand di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali daripada Chiang Rai pada 19 April lalu manakala, Mr G ditahan semasa bersedia  menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia selepas memasuki Thailand sebelum cuti bersempena perayaan Songkran.-Bernama

Mr T, raja Dadah Malaysia, Thailand

Artikel Lain