suria

Aplikasi MyDI Semak Status Bankrap

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Azalina Othman Said melancarkan Jelajah MyDi di Dewan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM, Selasa. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia Datuk Abd Rahman Putra Taha (kanan) dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang Undang Datuk Jalil Marzuki (kiri).

PUTRAJAYA: Mulai 11 Mei orang ramai boleh membuat carian tentang status bankrap mana-mana individu di telefon pintar melalui aplikasi MyDI yang dilancarkan hari ini.

"Aplikasi ini boleh dimuat turun mulai 11 Mei. Jadi selepas ini, tidak perlu pergi ke Jabatan Insolvensi untuk memeriksa status (bankrap) ," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi berkenaan di sini, Selasa.

Beliau berkata dengan adanya kemudahan itu, majikan boleh memeriksa status kebankrapan bakal pekerja dan institusi yang memberi pinjaman kewangan manakala ibu bapa pula boleh memeriksa status bakal menantu.

Azalina dalam pada itu berkata Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan 2016) dijangka mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bulan depan dan bakal dikenali sebagai Akta Insolvensi.

Jabatan Insolvensi akan mengadakan jelajah Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan 2016) ke seluruh negara untuk menerangkan tentang lapan perubahan dasar yang telah diluluskan, katanya.

Azalina berkata aplikasi MyDI merupakan fasa pertama perubahan Akta Kebankrapan.

"Pada fasa kedua selepas ini masyarakat hanya perlu isi borang bagi pelepasan (daripada status bankrap) secara online dan hanya pergi ke Jabatan Insolvensi untuk pengesahan selepas memenuhi semua syarat," katanya.

Beliau berkata pindaan itu juga mewujudkan ''mekanisme penyelamat'' dan dengan itu pekerja awam dan swasta yang berdepan masalah bankrap boleh datang ke Jabatan Insolvensi untuk dapatkan ''pakej penyelamat'' itu.

Mengenai jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan bankrap, beliau berkata jumlahnya setakat ini adalah 292,000.

Ditanya mengenai isu kebankrapan dalam kalangan penjawat awam, Azalina berkata statistik kebankrapan penjawat awam dari 2013 hingga Mac tahun ini ialah 3,547 orang.

Menurut Azalina, dasar kerajaan menetapkan kakitangan kerajaan tidak boleh meminjam melebihi 60 peratus daripada pendapatan.

"Tapi kalau penjawat awam meminjam dari luar, biasanya banyak ketua jabatan tidak tahu. Biasanya perkara itu menyebabkan penjawat awam meminjam lebih (dari 60 peratus pendapatan)," katanya.  -- Bernama

Azalina, MyDI

Artikel Sebelum

Artikel Lain