suria

Abang Pokok Sena Tetap Setia Bersama PAS

ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ternyata tidak terkesan dengan tindakan PAS meminggirkannya terutama apabila tidak dijemput menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-63.

Sebaliknya, Mahfuz menegaskan bahawa kesetiaan beliau masih utuh terhadap PAS walaupun menerima tawaran untuk bertanding atas tiket Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malah mengulas tentang usikan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS, Suria Narayanan yang mahu beliau bertaubat dan tidak meninggalkan parti tersebut, Mahfuz melihat perkara itu sebagai perkembangan yang sangat baik.

"Perkembangan ini menunjukkan rakyat memberi perhatian terhadap saya.

"Bagi saya, kedudukan (dalam parti) tidak penting, tetapi yang lebih penting dalah rakyat dan negara," kata beliau ketika ditemui media di sini, Ahad.

Hubungan Mahfuz dan PAS menjadi keruh susulan sokongan beliau terhadap Pakatan Harapan selain mengeluarkan kritikan terhadap partinya sendiri kerana kurang bersetuju dengan beberapa tindakan yang dianggap merugikan parti Islam itu.

Antara tindakan PAS yang kurang disenangi Mahfuz termasuk keputusan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan dan memutuskan tahaluf siyasi politik dengan PKR yang terjalin sejak 1999.

Ekoran itu, PAS dilihat 'menghukum' Mahfuz dengan tidak menjemput ahli Parlimen Pokok Sena tersebut untuk menghadiri muktamar pada tahun ini.

Meskipun diperlakukan sedemikian, Mahfuz tetap melafazkan kesetiaannya terhadap PAS, selain menaruh harapan agar hubungan dengan Pakatan Harapan dapat diselamatkan.

"Saya mahukan ahli-ahli PAS untuk melihat kepentingan kepada mereka walaupun tidak bersama Pakatan Harapan dan tidak salah bagi ahli mendokong dan menyokong blok pakatan itu demi menolak Umno tanpa perlu keluar parti.

"Bagi saya, adalah penting untuk mengangkat sokongan ahli PAS untuk terus bersama Pakatan Harapan," kata beliau.

Mahfuz, Muktamar PAS

Artikel Sebelum

PAS Tak Sombong

Artikel Lain