suria

Banjir Kilat Akibatkan Lalu Lintas Sesak Di Klang

PETALING JAYA: Hujan lebat dan angin kuat selama sejam mengakibatkan banjir kilat di Klang.

Persimpangan Sungai Rasau dekat pusat membeli-belah Aeon Bukit Raja ditenggelami air sehingga paras lutut.

PlusTrafik di Twitter pada Isnin berkata, banjir kilat menghalang laluan di lorong kiri sebelum Tol Sungai Rasau menghala iCity.

Seorang wartawan, Mei Mei Chu berkata, trafik tidak bergerak selama 30 minit.

Menurut Mei Chu, hujan sejak 3.15 petang menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 20 kilometer.

Mei Chu berkata, banyak kenderaan berhenti di sepanjang laluan kecemasan di atas jejambat di persimpangan untuk mengambil gambar keadaan banjir.

"Tiada sebarang perkhidmatan kecemasan dan penghadang plastik terapung di jalan," katanya yang berada di tempat kejadian.

Gambar diambil Mei Chu itu menunjukkan sebuah kereta BMW putih terkandas di jalan yang ditenggelami air paras lutut.

Menurut Mei Chu, orang ramai keluar dari kereta untuk mengalihkan lalu lintas dari menghala ke kawasan yang terjejas, pada pukul 4.45 petang.

"Banyak kenderaan membuat pusingan-U di kawasan jalan sehala untuk melalui jejambat menghala Tol Sungai Rasau arah Lebuhraya Persekutuan," tambahnya.

Artikel Sebelum

"Terima Kasih Kerajaan"

Artikel Lain