Maaf PPBM, PAS Tak Sudi - Semasa | mStar

Maaf PPBM, PAS Tak Sudi

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menyanyikan lagu Negaraku pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-63 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Sabtu.

ALOR SETAR: PAS akhirnya membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) walaupun sebelum ini kedua-dua pihak dikatakan berhasrat membentuk pakatan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kata putus itu diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan PPBM sebagai parti tanpa hala tuju dan tidak tentu arah.

"Kita pun tidak tahu siapa pemimpin (PPBM), siapa imam dan siapa makmum kerana mereka berlumba-lumba untuk membuat kenyataan.

"Oleh itu kita memutuskan bahawa PAS tidak akan mempunyai hubungan dengan parti itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-63 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas tentang desakan PKR untuk memutuskan tahaluf siaysi dengan PAS, Abdul Hadi berkata:"Kita parti yang sabar. Kita tidak boleh layan parti yang tidak sabar."

Bagaimanapun mengulas sama ada peluang untuk memutuskan hubungan dengan PKR yang mendapat sokongan Dewan Pemuda PAS, Dewan Muslimat PAS dan Dewan Ulama PAS, Abdul Hadi berkata, beliau tidak boleh membuat ramalan tentang keputusan tersebut yang bergantung kepada Majlis Syura.

"Kita tidak boleh membuat ramalan dalam Islam walaupun ramalan itu tepat.

"Tetapi itu (tahaluf siyasi) akan dikaji dari masa ke semasa, jika bercanggah dengan syarat dan moral, maka tindakan lanjut akan dibuat," katanya,




Muktamar PAS , Abdul Hadi , PPBM

Artikel Sebelum

Geng 24: Tujuh Lagi Pelajar Ditahan

Artikel Berikut

Laluan Sukar Pelajar 11A+

Artikel Berkaitan

Tiada Lagi PM Umno

Lebih Artikel

Manchester United pecat Mourinho!