suria

Laluan Sukar Pelajar 11A+

Teh Xin Yi

IPOH: Usaha Teh Xin Yi untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM 'terbayar' dengan keputusan 11A+, tetapi kegembiraannya tidak kekal lama.

Impiannya untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan elektronik di Jerman mungkin akan berkecai jika beliau gagal mendapat biasiswa.

Beliau yang melakukan log masuk ke laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Rabu kecewa dan menitiskan air mata selepas mendapati namanya tiada dalam senarai pemohon yang berjaya untuk program biasiswa JPA.

Bekas pelajar SMJK Ave Maria Convent ini sentiasa berusaha gigih untuk mendapat 'A' dalam semua subjek yang diambilnya dan aktif dalam ko-kurikulum.

Beliau telah memohon untuk mengikuti Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) dan Program Penajaan Nasional (PPN).

"Saya amat kecewa kerana walaupun dengan keputusan yang baik, saya tak dapat belajar di universiti luar negara untuk mencapai impian saya.

"Saya telah mengemukakan rayuan kepada JPA dengan harapan diterima masuk ke program di bawahnya," katanya pada sidang akhbar yang dianjurkan oleh Ketua Pemuda MCA Ipoh Barat Aldrich Low di sini, Jumaat.

Xin Yi berkata beliau menyimpan impian untuk belajar di universiti berprestij di Jerman menggunakan biasiswa kerana ibu bapanya tidak mampu membiayai pengajiannya di luar negara.

Bapanya adalah seorang juruteknik dan ibunya bekerja sebagai pengawal pengeluaran di sebuah kilang.

"Mereka juga menjaga datuk dan nenek saya, bersama adik perempuan saya yang berada di tingkatan tiga," katanya.

Low berkata terdapat 220 tempat ditawarkan untuk program JKPJ dan PPN, sedangkan hanya 102 pelajar di seluruh negara, termasuk Xin Yi yang memperoleh keputusan semua A.

Beliau akan membantu pelajar ini dalam proses rayuannya kepada JPA, dan meminta pelajar lain di Perak yang menghadapi situasi sama menghubungi MCA Perak untuk mendapatkan bantuan.

JPA, biasiswa, pelajar cemerlang

Artikel Sebelum

Maaf PPBM, PAS Tak Sudi

Artikel Lain