suria

Pemuda PAS 'Serang' PKR, DAP

ALOR SETAR: Sesi perbahasan ucaptama Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pada hari kedua Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-58, berlangsung dalam suasana tenang.

Walaupun diselitkan dengan pelbagai gimik oleh beberapa perwakilan tetapi tiada kekecohan yang timbul pada sesi perbahasan yang berlangsung di Kompleks Pas di sini pada Jumaat.

Antara perkara yang disentuh oleh perwakilan termasuk memutuskan tahaluf siyasi PAS dengan PKR seperti yang dibangkitkan wakil Pulau Pinang, Muhamad Hafiz Alias Al-Baghoni dan wakil Selangor, Mohamed Sukri Omar.

Terdahulu, Muhamad Hafiz turut menyentuh isu penambakan laut, kos sara hidup yang tinggi dan kebajikan umat Islam yang gagal dilaksana kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang.

Menurut Hafiz, DAP dan sekutunya, Pemuda PAS tidak akan menyesal sekiranya hubungan dengan kedua-dua parti tersebut ditamatkan.

Selain itu, Mohamed Hafiz sempat menyelar parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (Amanah) dengan menyuarakan rasa syukur bahawa golongan munafik telah keluar daripada PAS.

Sementara itu, Sukri memberi amaran kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli kerana cuba memecah-belahkan kepimpinan PAS menerusi isu-isu tertentu.

Kenyataan Sukri itu dipercayai merujuk kepada pertikaman lidah antara pucuk pimpinan PAS dan Rafizi selain dakwaan ahli Parlimen Pandan tersebut bahawa bekas pemimpin PAS menerima dana daripada 1MDB.

"Kalau dia (Rafizi) betul-betul anak jantan, bersedialah untuk menerima tentangan daripada Pemuda PAS," tegasnya.

Sukri juga memberi amaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali tentang serangan PKR terhadap PAS.

"Kerusi MB (Azmin) akan menjadi yang terakhir jika serangan ke atas PAS diteruskan," kata beliau.

Sementara itu, perwakilan Kedah, Nurul Amin menyatakan keyakinan bahawa PAS akan merampas semula negeri Jelapang Padi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"PAS Kedah perlu menang untuk memastikan sasaran 40 kerusi Parlimen menjadi kenyataan.

"Ini bukan omong kosong untuk capai sasaran tersebut," katanya.


Pemuda PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain