suria

Najib Kunjungi Naah!im Bakery Milik Rakyat Malaysia Di Manila

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa melawat Naah!im Bakery bersama dua daripada empat pemiliknya, Ungku Raad Azeraai Ungku Mohd Najib (tiga,kanan) dan Mohd Kurniawan Naim Mokhtar (tengah), Jumaat.

MANILA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa selama 45 minit daripada jadualnya yang padat dengan mengunjungi sebuah kedai roti, Naah!im Bakery, milik rakyat Malaysia di sini.

"Inilah contoh usahawan yang kita mahu sokong. Mereka merupakan usahawan muda dan kita mahu menggalakkan lebih ramai usahawan khususnya yang muda untuk tampil dan berani menyahut cabaran.

"Usahawan kedai roti ini berjaya mendapatkan semula modal mereka dalam masa sembilan bulan," kata Najib.

Terletak di Hotel Belmont di tengah-tengah pusat hiburan Manila, Resorts World, Naah!im Bakery bermula daripada sekadar idea konsep untuk menghimpunkan pelbagai jenis makanan dan minuman terutamanya menu Barat dan Asia ke semua bandar utama di benua ini.

Antara keunikannya adalah jualan termasuk 50 jenis roti yang menunya ditukar setiap hari.

"Jujurnya, kami turut menyajikan makanan Malaysia. Malah, mungkin kami yang pertama memperkenalkan sajian menu Malaysia," kata Ungku Raad Azeraai Ungku Mohd, 39 tahun.

Beliau yang juga rakan kongsi perniagaan itu berkata demikian kepada Perdana Menteri apabila ditanya bagaimana mereka dapat mempopularkan produk serta kedai berkenaan.

Malah, katanya, jualan pelbagai jenis roti itu juga berbeza daripada yang ditawarkan di pasaran.

Difahamkan juga, Ungku Raad dan tiga rakan niaga lain iaitu Ahmad Ferman Tjandra Ahmad, Mohd Kurniawan Naim Moktar serta Mohd Farez Yusof turut merancang untuk melebarkan perniagaan itu ke kawasan lain di Filipina.

Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi kisah kejayaan empat usahawan muda itu menerusi catatan terbaharunya di Facebook dengan memuat naik gambar pelbagai menu di kedai berkenaan.

Pada gambar itu, Najib turut meletakkan keterangan "Menyokong empat usahawan muda Malaysia membuka kedai roti yang terbukti berjaya di Metro Manila serta contoh pelbagai pastri." -- Bernama

Najib, Manila, Naah!im Bakery

Artikel Sebelum

Artikel Lain