suria

Wanita Dakwa Lesap RM117,000 Akibat Pukau

- Gambar hiasan

IPOH: Seorang wanita berusia 70 tahun mendakwa wang simpanannya berjumlah hampir RM117,000 'lesap' selepas dipukau di Central Market Ipoh.

Kan Wai Leng, 70, berkata beliau sedang berada di pasar itu apabila didatangi seorang wanita yang bertanyakan tentang seseorang bernama Dr Wong.

Beberapa minit kemudian, seorang wanita lain datang memberitahu Wai Leng bahawa beliau mengenali Dr Wong yang telah menyelamatkan ibu mertuanya.

"Ketika saya bertemu dengan wanita kedua itu yang berusia sekitar 40-an, dia menyentuh tapak tangan saya dan muka saya menjadi sejuk.

"Mereka beritahu saya yang mereka mahu berjumpa Dr Wong dan memaksa saya mengikut mereka.

"Walaupun saya tidak mahu tetapi saya berasa tidak berdaya," katanya di ibu pejabat DAP di Jalan Istana di sini di mana Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Adun Canning Wong Kah Woh turut hadir.

Seorang lagi wanita, yang mendakwa dirinya adalah cucu Dr Wong kemudian muncul dan memberitahu Wai Leng bahawa beliau telah disampuk hantu.

Mereka kemudian membawa Wai Leng ke sebuah bank di Jalan Yang Kalsom di mana beliau telah mengeluarkan wang berjumlah RM115,628.15 dan pergi ke sebuah lagi bank untuk mengeluarkan wang RM1,000.

Wai Leng memberikan mereka wang tersebut dan telah dibawa ke pusat sebuah beli-belah untuk 'doa' dibacakan terhadapnya.

"Mereka minta saya melihat di luar tingkap apabila mereka berdoa. Sebaik sahaja selesai, mereka beri satu beg plastik hitam dan meminta saya membukanya pada 20 Mei."

Bagaimaanpun, beliau mendapati beg plastik itu mengandungi bungkusan garam dan dua botol air mineral.

Beliau kemudian membuat laporan polis.

pukau, Central Market

Artikel Lain