suria

Singapura, Filipina Waspada Skim JJPTR

Perniagaan berjalan seperti biasa. Kakitangan JJPTR melayan pelabur di pejabat cawangannya di Jalan Perak, Pulau Pinang. Kakitangan firma itu membenarkan gambar dalam pejabat tersebut dirakam. foto ZAINUDIN AHAD/The Star

PETALING JAYA: Pengendali 'permainan wang' terbesar di negara ini, JJPTR bukan sahaja mencetuskan panik di Malaysia tetapi turut meletakkan institusi kewangan di Singapura dan Filipina dalam keadaan berjaga-jaga.

Walaupun begitu, pelaburnya, yang dikatakan mencecah puluhan ribu terus menyokong firma kontroversi itu.

Singkatan JJPTR bukan sahaja mewakili Jie Jiu Pu Tong Ren dalam bahasa Cina (keselamatan untuk rakyat biasa) tetapi turut dikaitkan dengan salah sebuah syarikat sekutunya, 'JJ Poor to Rich'.

Kira-kira 72 jam selepas firma itu menjadi perhatian selepas mendakwa akaunnya telah digodam menyebabkan kerugian hampir RM500 juta, pengasas JJPTR, Johnson Lee, 28, pada Selasa tampil memberi jaminan untuk mengetengahkan rancangan baharu yang lebih baik dalam tempoh beberapa hari lagi.

Dalam satu rakaman suara dipercayai milik Lee menerusi laman Facebook JJPTR mendakwa dia masih berada di Malausia dan sedang merangka skim baharu yang akan didedahkan pada 1 Mei.

"Kami sedang membincangkan rancangan baharu.

"Saya perlu mendapatkan persetujuan daripada semua 40 cawangan sebelum memulakannya.

"Kami sebenarnya akan bermesyuarat esok (hari ini) dan selepas itu, kami akan menulis rancangan itu secara terperinci.

"Saya harap anda semua boleh beri saya masa sehingga 1 Mei untuk membentangkan pelan yang lebih baik kepada anda," katanya.

Pada Selasa, The Star melaporkan berpuluh-puluh ribu pelabur dari seluruh dunia, termasuk Kanada, Amerika Syarikat dan China, mungkin bakal mengalami kerugian RM500 juta selepas JJPTR ​​dilaporkan gulung tikar.

Dalam rakaman audio itu, Lee turut memberitahu pelaburnya supaya 'jangan menderma' atau 'meminjam' wang kepadanya untuk membantunya keluar daripada situasi itu."Tidak kira berapa banyak anda derma, anda tidak boleh mengumpul AS$400 juta yang telah hilang.

"Tolong jangan derma.

"Ramai orang menggunakan nama saya untuk meminta derma dan saya bimbang anda semua akan salurkan wang itu kepada orang yang salah.

"Saya tidak perlukan wang itu," kata Lee.

Sejak minggu yang lalu, terdapat cakap-cakap dalam talian mengenai kerja penggodaman yang mengakibatkan JJPTR kerugian RM500 juta.

Kes itu menjadi tajuk utama dalam akhbar-akhbar utama bahasa Cina pada Isnin apabila Lee mengesahkan khabar angin di Facebook, menyifatkan kerugian besar itu sebagai 'kesilapan terbesar dalam hidup saya'.

JJPTR, 'JJ Poor to Rich' dan JJ Network Global adalah tiga entiti perdagangan forex yang disenaraikan di laman web www.jjptr.com.

Syarikat itu adalah antara 288 entiti dan individu yang berada di bawah pemerhatian Bank Negara Malaysia pada 24 Februari.

Mereka tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh bank pusat.

Ahli-ahli JJPTR diminta untuk melabur antara AS$25 dan AS$1,000 (RM110 dan RM4,400) dan menjanjikan pulangan bulanan sebanyak 20 peratus.

JJPTR, permainan wang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Uber Hargai Komitmen Ojie

Artikel Lain