suria

FAM Serah Senarai Pemain, Pengadil Untuk Dipantau SPRM

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima nama dan butiran peribadi pemain, pengadil dan pihak lain yang terlibat dalam industri bola sepak negara untuk pemantauan rapi suruhanjaya itu.

Selain pemain dan pengadil perlawanan, turut disenaraikan adalah pegawai pasukan dan kakitangan di dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Senarai itu diterima SPRM dalam pertemuan pegawai tertinggi badan anti rasuah itu bersama Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Khamis malam.

Menurut SPRM dalam kenyataannya, Tunku Ismail meminta suruhanjaya itu  memastikan sukan bola sepak negara bebas rasuah dan salah guna kuasa. 

“SPRM akan memberi sokongan serta komitmen penuh untuk memastikan sukan bola sepak negara yang melibatkan pemain, pengadil perlawanan serta pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” menurut suruhanjaya itu.

Tunku Ismail menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias.

Turut hadir Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Menurut SPRM, ia menyokong penuh komitmen berterusan Tunku Ismail kepada suruhanjaya itu dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini, khususnya arena pembangunan sukan bola sepak tempatan.

“SPRM juga yakin dengan kepimpinan dan kewibawaan Tunku Ismail dalam menerajui FAM, yang pastinya akan membawa perubahan dan kegemilangan kepada pembangunan sukan bola sepak negara,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, isu rasuah hangat diperkatakan dalam sukan bola sepak apabila beberapa pemain dan 'bookie' ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengatur perlawanan Liga Perdana.

Seorang 'bookie' berusia 49 tahun ditahan bersama tiga pemain bola sepak kelab Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), bagi membantu siasatan kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Tiga pemain 26 hingga 29 tahun termasuk seorang pemain import sebelum ini turut direman tujuh hari bermula 6 April lalu bagi membantu siasatan mengambil suapan daripada bookie berkenaan tetapi sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Difahamkan, bookie berkenaan menawarkan RM10,000 hingga RM30,00 kepada pemain MISC-MIFA sebagai habuan bagi menentukan keputusan perlawanan.

Terdahulu, SPRM memberi amaran akan terus bertindak agresif memerangi rasuah melibatkan semua pihak dalam industri bola sepak negara.

Artikel Lain