suria

Op Didik: 1,186 Pelajar, 51 Ibu Bapa Disaman

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Seramai 1,186 pelajar sekolah di sekitar 15 daerah di Selangor disaman kerana pelbagai kesalahan jalan raya melalui Op Didik selama tiga hari yang berakhir pada Jumaat.

Dalam operasi bermula 6.30 pagi hingga 8 pagi di 43 sekolah sekitar Selangor itu, polis turut mengeluarkan saman kepada 51 ibu bapa atas kesalahan sama ketika menghantar anak masing-masing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Supt Kamaludin Mohamad berkata antara kesalahan ketara pelajar dan ibu bapa ialah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan.

"Mengikut pecahan, sebanyak 14 saman pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan kepada pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 (73 saman), Tingkatan 3 (187 saman), Tingkatan Empat (288 saman) dan Tingkatan Lima (624 saman)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa dan pihak sekolah supaya memberi perhatian kepada masalah ini dan membendungnya daripada berterusan dengan memberi nasihat kepada pelajar kerana pendidikan keselamatan jalan raya bermula dari peringkat bangku sekolah lagi.

Op Didik dilaksanakan di sekitar sekolah di Selangor bagi mendidik pelajar dan ibu bapa yang selama ini tidak mengendahkan peraturan jalan raya. - BERNAMA

Op Didik, saman, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Zakir Naik: PAS Bidas Subra

Artikel Lain