suria

Geng 24: Pengawal Keselamatan, Mekanik Antara Ditahan

SHAH ALAM: Seorang pengawal keselamatan dan mekanik adalah antara 18 orang yang ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap Geng 24 di sekitar Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat berkata kesemua mereka termasuk 13 pelajar yang berusia antara 16 dan 25 tahun, ditahan dalam operasi Cantas Khas sebaik sahaja rakaman video menunjukkan mereka menimbulkan kekecohan di luar sebuah sekolah menjadi tular.

"Kesemua mereka ditahan dalam operasi itu yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bermula malam tadi sehingga awal hari ini setelah mendapati terdapat elemen kongsi gelap dalam video yang diviralkan.

"Polis masih menyiasat motif dan mengenal pasti dalang di sebalik kejadian," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Jumaat.

Katanya, kesemua mereka direman sehingga 24 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Pertubuhan 1966.

Fadzil berkata video itu antara lain menunjukkan sekumpulan lelaki membawa sepanduk yang tertera angka ''24'' dan dalam kalangan mereka ada yang berpakaian dengan lambang swastika yang berunsurkan kongsi gelap.

Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tangkapan itu dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFFOC).

"Ramai lagi akan ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti Geng 24," katanya dalam catatan di laman Twitter rasminya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zakir Naik: PAS Bidas Subra

Artikel Lain