suria

Azhar Abdul Manaf Dilantik KP Mara Baharu

Ismail Sabri (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen tugas Ketua Pengarah Mara daripada Ibrahim Ahmad kepada Azhar Abdul Manaf (kanan) di Ibu Pejabat Mara pada Jumaat. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) Mara, Azhar Abdul Manaf dilantik sebagai Ketua Pengarah Mara yang baharu berkuat kuasa Isnin ini.

Azhar menggantikan Datuk Ibrahim Ahmad yang akan mula bercuti pada hari sama sebelum bersara wajib.

Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan pelantikan Azhar pada majlis penyerahan tugas hari ini turut mengucapkan terima kasih kepada Ibrahim atas perkhidmatannya yang disifatkan telah memberi sumbangan signifikan dalam agenda pembangunan sosioekonomi Bumiputera serta negara amnya.

"Di bawah kepimpinannya sepanjang tujuh tahun ini, Mara telah melalui beberapa fasa transformasi termasuk menetapkan hala tuju baharu bagi menghadapi cabaran akan datang," katanya dalam ucapan ringkas sebelum menyerahkan surat pelantikan kepada Azhar.

Ismail Sabri berkata Azhar dilantik atas pengalaman luas dan perkhidmatan cemerlang sepanjang perkhidmatannya dengan Mara, selain berpengalaman menjadi pengarah di beberapa bahagian Mara.

"Semoga pelantikan Azhar akan terus memacu Mara untuk mencipta kecemerlangan ke tahap lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Azhar yang menjadi antara peneraju utama dalam melaksanakan Transformasi Mara sejak 2011 berkata beliau akan meneruskan legasi Ibrahim dan akan memberi sepenuh komitmen dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

''Saya banyak menimba ilmu daripada abang saya ini (Ibrahim) dan insya-Allah akan meneruskan apa yang telah diperjuangkannya," katanya.

Azhar menyertai Mara pada 1988, dan pernah menjadi Pengarah Mara negeri Melaka dan Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan. - BERNAMA

Mara, Azhar Abdul Manaf

Artikel Lain