suria

DAP Perak Sudah Ketandusan Idea - Zamry

TELUK INTAN: Tindakan DAP Perak yang suka menyebarkan pembohongan menunjukkan parti itu sudah ketandusan idea, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Kebanyakan perkara yang dibangkitkan parti itu hanyalah helah bagi memastikan kelangsungan parti itu  selain meraih simpati ramai.

Zambry berkata akibat ketandusan idea, pembangkang sanggup meneruskan taktik pembohongan asalkan dapat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Mereka ini sudah kekeringan idea dan sudah tidak ada apa-apa isu untuk dimainkan bagi menjatuhkan BN. Maka pembohongan kepada rakyat dilakukan bagi memastikan survival (kelangsungan) politik dan sokongan berterusan," katanya kepada pemberita selepas program perjumpaan bersama kira-kira 1,000 masyarakat Cina di Pasir Bedamar, di sini sempena program Pemukiman Menteri Besar di Hilir Perak selama lima hari bermula Selasa.

DAP dalam laman web rasminya mengeluarkan kenyataan bahawa Perak MB Inc mempunyai potensi menjadi skandal besar jika kerahsiaannya tidak didedahkan.

Menurut Zambry, isu MB Inc yang dibangkitkan DAP bukanlah perkara baru dilakukan oleh pembangkang kerana sebelum ini sudah pelbagai fitnah dilemparkan mereka.

"Mereka sanggup melakukan pembohongan mengenai isu MB Inc tidak kira tempat termasuklah di Dewan Undangan Negeri dan apabila saya mempersoalkan semula kesahihannya mereka mendiamkan diri," katanya.

Dalam pada itu, Zambry turut meminta pembangkang supaya jangan sesekali menggunakan kakitangan awam sebagai alat mereka untuk menyebarkan fitnah.

"Mereka hanya memetik kakitangan awam sebagai sumber mereka namun bila diminta membuktikannya atau mendedahkan pemberi maklumat tersebut, DAP tidak berani lakukannya," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain