suria

Pelajar Dicadang Boleh Bawa Peranti Ke Sekolah

Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar menggunakan alat peranti seperti komputer riba, tablet dan telefon bimbit di sekolah untuk tujuan pembelajaran.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penggunaan alat tersebut bagi tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan kementerian.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun belum dimuktamadkan kerana kementerian perlu mengkaji cadangan itu secara terperinci sebelum melaksanakannya.

"Saya masih belum memikirkan jenis alat peranti yang boleh dibawa oleh pelajar ke sekolah...mungkin selepas perbincangan lanjut, kementerian akan umumkan keputusannya dalam tempoh dua bulan akan datang," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis pelancaran 70 Buku Siri Sukan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan perjanjian kerjasama penerbitan antara ITBM-Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HCCM), di sini.

Turut hadir Pengerusi ITBM, Budiman Mohd Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Mahdzir menarik perhatian bahawa beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea telah membenarkan secara terhad penggunaan beberapa peranti seumpamanya di sekolah.

Katanya, bagi menjayakan cadangan penggunaan alat peranti di sekolah, beliau mengarahkan pembekal Perkhidmatan 1BestariNet meningkatkan kapasiti kelajuan jalur lebar sehingga enam gigabit sesaat di sekolah luar bandar manakala 12 gigabit sesaat bagi sekolah di bandar. -Bernama

Artikel Berikut

Zakir Naik PR Malaysia

Artikel Lain