suria

Pengurus Hotel Dihukum Gantung Edar 82.38G Dadah

MUAR: Seorang pengurus hotel dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah mengedar 82.38 gram dadah jenis heroin.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Firdaus Abdullah, 29, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bapa seorang anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di KM74.5 Kawasan Rehat dan Rawat Machap arah utara di Kluang kira-kira 9.30 pagi pada 4 Jan tahun lepas mengikut Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata pembelaan tertuduh penuh dengan penafian dan rekaan semata-mata.

"Menurut saksi pendakwaan, terdapat satu plastik mengandungi sebuah kotak dibalut dengan kertas pembalut hadiah dipegang tertuduh di tangan kanannya iaitu dalam kawalan dan jagaan tertuduh sambil menangis selain tertuduh mempunyai pengetahuan akan kewujudan dadah jenis heroin di dalam kotak tersebut," katanya.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang ke tempat kejadian dan ternampak seorang lelaki sedang membawa satu bungkusan ke arah sebuah kereta Honda berwarna putih yang dipakir di tepi jalan.

Pemeriksaan sepenuhnya ke atas kotak terbabit menemukan empat bungkusan didapati mengandungi dadah heroin seberat 82.38 gram.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman mati mengambil kira semua fakta dalam kes itu.

"Apa jua mitigasi yang dihujahkan oleh pihak pembelaan bagi pihak tertuduh, hanya satu sahaja hukuman terhadap kesalahan ini, iaitu hukuman mati mandatori," katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Tertuduh yang kelihatan tenang di kandang tertuduh, diwakili peguam Chandran Singh.

Anggota keluarga tertuduh yang hadir di mahkamah, dilihat mengesat air mata sepanjang prosiding itu.

-- Bernama 

heroin, Machap

Artikel Lain