suria

Jepun Puji Kejayaan M'sia Bawa Pulang Rakyat Dari Korea Utara

Najib (tengah) melihat model Projek Perumahan Rakyat selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat Bukit Nanas pada Sabtu. Turut hadir Ahmad Razif (dua, kiri) dan Noh Omar (tiga, kanan). Foto Bernama

KUALA NERUS: Jepun menyanjung tinggi kejayaan kerajaan Malaysia membawa  pulang sembilan rakyat negara ini dari Korea Utara baru-baru ini,  kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pujian itu disampaikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa yang memandang tinggi usaha dan kebolehan pemimpin negara berbuat demikian kerana kerajaan Jepun pernah beberapa kali berusaha melakukan perkara sama untuk rakyatnya tetapi gagal.

"Duta Jepun beritahu saya ada lebih 100 orang rakyat Jepun yang diculik oleh Korea Utara dalam tahun 1970-an dan 1980-anp; sampai hari ini, mereka tidak tahu apa nasib rakyat mereka. Mereka telah berunding beratus kali tetapi tiada hasilnya.

"Duta Jepun tabik Malaysia. Kita berjaya bawa balik (sembilan rakyat kita)," katanya ketika berucap merasmikan Program Perumahan Rakyat Bukit Nanas di sini, Sabtu.

Perdana menteri berkata, kejayaan itu menggambarkan negara lain amat menghormati Malaysia, malah, memberi penilaian yang jauh melebihi negara lain.

Najib berkata, Dr Makio menzahirkan rasa kagum negaranya dengan kejayaan Malaysia itu pada majlis makan tengah hari yang dihoskan beliau bagi meraikan Putera Mahkota Naruhito,  yang kini dalam rangka lawatan rasmi di negara ini.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Sembilan rakyat Malaysia tiba di tanah air dari Pyongyang pada 1 April lepas.

Sementara itu, majlis perasmian Program Perumahan Rakyat Bukit Nanas itu turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengenai Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Najib berkata, projek itu yang melibatkan laluan sepanjang 600 kilometer akan memberi manfaat kepada penduduk di Kemaman dan Besut.

"Bulan depan saya akan ke China sebab diundang untuk persidangan dengan satu daripada topiknya ialah ECRL yang akan kita bina merentasi Pahang, Terengganu dan Kelantan. Ketiga-tiga negeri ini akan dapat untung;tetapi Pekan tidak ada.

"Saya tidak lencongkan ke Pekan walaupun saya Anggota Parlimen Pekan kerana saya buat (propjek ini) untuk kepentingan rakyat.

"(Dengan adanya ECRL) jika kita hendak eksport dari Pelabuhan Kemaman boleh, Pelabuhan Klang pun boleh," kata beliau. 

Perdana menteri berkata pembinaan ECRL, yang merupakan satu daripada visi kerajaan membantu rakyat, bertujuan membolehkan ekonomi pantai timur meningkat sehingga 1.5 peratus. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain