suria

Isu Keganasan Hanya Berkaitan Pengumpulan Dana - KPN

PUTRAJAYA: Isu pembiayaan keganasan di Malaysia masih tidak seteruk negara lain walaupun sudah terdapat dua kes berkaitan perkara itu dibawa ke mahkamah tahun lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Walaupun tidak seteruk hingga melibatkan pembiayaan pembelian senjata, pihaknya tetap berwaspada agar kes yang kini hanya berkaitan pengumpulan dana oleh individu tertentu untuk pembiayaan ke Syria tidak menular, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas wacana ancaman jenayah kewangan dan pengubahan wang haram anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini Khamis.

Berhubung hasrat lebih 50 rakyat Malaysia yang kini berada di Syria dan Iraq kerana menyertai kumpulan militan yang dilaporkan mahu kembali ke tanah air, Khalid berkata polis tiada masalah dengan perkara itu.

Beliau berkata apabila tiba di negara ini, mereka akan ditahan, diambil keterangan dan diberikan rawatan pemulihan menerusi program deradikalisasi mengikut tahap pembabitan mereka dalam kumpulan pengganas dan ekstremis sebelum mereka dibenarkan kembali kepada masyarakat. -Bernama

Pengganas, dana

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain