suria

Remaja Ditahan Kerana Hina Sultan Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang remaja berusia 19 tahun diberkas polis selepas mengeluarkan kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menerusi media sosial.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata remaja itu yang bekerja sebagai buruh ditahan kira-kira 4.50 petang Rabu di Kampung Padang Jambu, Dungun.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad memori daripada remaja itu.

"Hasil siasatan, suspek mengaku membuat kenyataan berkenaan di ruang komen laman Facebook," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Menurutnya penghinaan dalam akaun laman sosial itu dikesan Isnin lepas hasil kerjasama polis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Rosli berkata pihaknya juga sedang memburu seorang lagi remaja berusia dalam lingkungan 20-an dari Dungun, yang merupakan rakan Facebook suspek, kerana turut menulis kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Mizan.

"Siasatan terperinci dijalankan berhubung motif kedua-dua remaja berkenaan melemparkan penghinaan terhadap Sultan Terengganu," katanya.

Remaja itu ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 233 (2) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.--Bernama

Sultan Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain