suria

Cuba Bunuh Diri, Wanita Didenda RM2,000

PETALING JAYA: Seorang wanita yang bertindak mengelar pergelangan tangannya beberapa kali dengan niat cuba membunuh diri didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang penganggur, Yew Kah Sin, 24, selepas dia mengaku bersalah cuba membunuh diri dengan mengelar pergelangan tangan kiri dan kanannya menggunakan sebilah pisau.

Tindakannya itu telah menyebabkan dia dimasukkan ke wad kecemasan dan menerima 30 jahitan.

"Seberat mana pun tekanan yang kamu hadapi, bunuh diri bukanlah satu jalan penyelesaian, sekarang kamu sudah keluar hospital, perlu dituduh di mahkamah pula.

"Kamu mesti tahu cubaan bunuh diri adalah satu jenayah," kata Majistret itu.

Wanita itu yang kelihatan tenang sepanjang prosiding kes itu melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai kecantikan di sebuah pusat beli-belah di Bandar Sunway, di sini pada 5.25 petang, 30 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan sewajarnya sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah bersama teman lelakinya merayu hukuman berbentuk denda yang ringan atas alasan dia tidak mampu membayar denda yang tinggi kerana tidak bekerja.

"Saya juga perlu menjaga ibu saya yang merupakan pesakit kanser paru-paru,"katanya.

Tertuduh membayar denda itu. -Bernama

Cubaan bunuh diri, denda RM2000

Artikel Sebelum

Adam Rosly Kena Tahan

Artikel Berikut

Artikel Lain