suria

Usaha Berterusan Rawat Puntung

Puntung dijaga rapi dan diberi makan oleh renjer yang bertugas.

KOTA KINABALU: Pasukan doktor veterina kini sedang menunggu bantuan daripada kumpulan pakar badak dari Afrika Selatan bagi menyelamatan salah seekor daripada tiga badak Sumatera yang menderita sakit di bahagian rahang.

Badak betina yang dipanggil Puntung itu mengalami bengkak di bahagian rahang atasnya.

Bagi langkah awal untuk mendapatkan rawatan, pihak Santuari Badak Sumbu Borneo, Perlindungan Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, Sabah perlu mendapatkan radiograf Puntung, namun ianya agak sukar.

"Setiap kali kami cuba untuk mendapatkan X-ray, Puntung tidak bekerjasama kerana sakit dan tidak mahu disuntik serta terlalu menumpukan perhatian kepadanya," jelas pengurus Dr Zainal Zainuddin.

Beliau menambah bahawa pakar badak di Afrika Selatan perlu melihat imej untuk menganalisis bengkak serta nanah yang berlaku sebelum membuat keputusan jenis rawatan.

Keadaan bertambah sukar apabila sejak empat hari lalu hujan lebat  melanda menyebabkan Puntung hanya berada dalam kolam lumpur sahaja.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, pemulihan Puntung masih samar namun beliau tetap optimis.

"Kami bersedia untuk sebarang perubahan baharu dan apa sahaja keputusan," katanya.

Rabu lalu, Puntung dilaporkan dalam keadaan menderita akibat kesakitan, namun menunjukkan perubahan baik selepas dua hari.

"Biasanya,  dia akan makan kira-kira 30 kilogram daun segar dan ranting setiap hari tetapi selama dua hari , Puntung kelihatan lesu dan hanya berkubang sahaja.

"Terdapat pendarahan dari lubang hidung kirinya. Kami terfikir bahawa Puntung tidak ada harapan lagi," kata Tuuga.

Bagaimanapun pendarahan dapat dihentikan pada Sabtu lalu dan Puntung kembali lebih aktif.

Sementara itu,  Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance, Datuk John Payne meminta organisasi bukan kerajaan yang ditugaskan untuk menguruskan badak sumbu di Borneo Rhino Sanctuary  supaya  terus memberi perhatian, antibiotik, buah-buahan dan pelbagai makanan tambahan yang mungkin dapat membantu Puntung.

Badak Sumatera, Puntung, Sakit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Fasa Baharu Pemandu Teksi

Artikel Lain