suria

Pendaki Tertua Malaysia Tiba Di Everest Base Camp

PENDAKI tertua Malaysia James Lee Chong Meng, 69, (tiga dari kiri) bersama peserta ekspedisi menuju ke Dingboche, Nepal yang mengambil masa selama empat jam pada 8 April 2017. - BERNAMA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR: Pendaki tertua Malaysia, James Lee Chong Meng, yang mahu menawan Gunung Everest, akan ke Lobuche, Nepal, yang terletak 4,910 meter di atas paras laut, esok dalam perjalanan ke Everest Base Camp.

Lee, 69, dan anggota pasukannya kini berada di Dingboche yang terletak 4,410 meter atas paras laut, selepas tiba di sana pada Sabtu.

"Cuaca agak baik dan kami dapat menikmati sinaran matahari. Saya boleh katakan kami semua berada dalam keadaan baik.

"Esok (Ahad) kami akan bergerak dari Dingboche ke Lobuche, satu laluan yang agak sukar," katanya dalam rakaman audio yang dihantar ke Bernama, rakan media pendaki tertua negara yang dalam misi sampai ke puncak tertinggi dunia itu.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Lions Mount Everest Expedition (MEE), Sherine Leong berkata laluan ke Lobuche akan mengambil masa enam jam, bergantung kepada keadaan cuaca.

Katanya Lee melakukan latihan penyesuaian hari ini sebelum bergerak ke Lobuche.

Selepas Lobuche, Lee dijangka meneruskan perjalanan ke Gorakshep (5,164m) pada 11 April sebelum sampai ke Everest Base Camp (5,380 meter) pada 12 April.

Lee dan pasukannya sampai ke Kathmandu pada 1 April lepas.

Lima pendaki yang bersamanya adalah Eugene Kwan Jyh Sin, 47, Chong Nyuk Kooi, 49, Teng Hee Weng, 48, serta Berdych Tan Teck Chai dan Jack Oh Jin yang masing-masing berusia 32 tahun.

Mereka akan menemani Lee sehingga ke Everest Base Camp sebelum Lee menyambung perjalanannya ke puncak gunung itu dalam ekspedisi yang dianjurkan Lions Club of Port Dickson Pantai.

Pada Mei tahun lepas, Lee terpaksa membatalkan peringkat akhir pendakiannya ke puncak Gunung Everest apabila sampai ke Kem III pada ketinggian 7,200 meter kerana cuaca buruk. Ketinggian Gunung Everest ialah 8,848 meter.

Everest

Artikel Berikut

Artikel Lain