suria

Presiden Bersatu Sedia Sokong RUU355

SHAH ALAM: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1965 atau Akta 355 jika pandangannya diambil kira.

“Sekiranya pandangan-pandangan yang saya kemukakan ini diambil kira, saya tiada halangan untuk menyokong Rang Undang-Undang ini apabila ia dibahas dan diundi dalam sidang parlimen akan datang.

"Yang penting bagi saya ialah pembentangan RUU ini mestilah untuk kebaikan umat Islam dan saya tidak melihatnya dari perspektif lain termasuk politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad seperti dilaporkan Sinar Online.

Beliau menegaskan bahawa pemerkasaan mahkamah syariah tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pemeluasan bidang kuasa jenayah mahkamah sahaja malah ia perlu mencakupi keseluruhan pentadbirannya.

“Peningkatan kecekapan dan profesionalisme mahkamah syariah adalah penting untuk menjamin mahkamah syariah dapat melaksanakan fungsinya sebagai penegak keadilan, khususnya untuk umat Islam di Malaysia.

"Jadi, perlunya ada usaha-usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah, termasuk hakim-hakim, pendakwaraya serta pegawai dan kakitangan mahkamah.

“Kerajaan perlu menyediakan sumber-sumber yang mencukupi, baik dari segi kewangan, kepakaran dan sumber manusia untuk meningkatkan kecekapan mahkamah syariah. Sudah sampai masanya hakim-hakim syarie Mahkamah Tinggi tidak lagi tertakluk sebagai penjawat awam dan satu skim khas perlu dibentuk untuk jawatan-jawatan ini,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan dan penguatkuasaan mana-mana undang-undang Islam hendaklah sentiasa berlandaskan prinsip keadilan selaras dengan agama Islam.

“Mahkamah syariah adalah sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk melaksanakan keadilan menerusi pelaksanaan undang-undang.

”Sebagai sebuah negara yang menjunjung keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, pelaksanaan Akta 355 ini juga mestilah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya.

Muhyiddin Yassin, RUU355

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain