suria

Pelepasan Kuota Bukan Bersifat Perkauman - Exco

GAMBAR HIASAN

IPOH: Kerajaan negeri menegaskan dasar pelaksanaan pelepasan kuota Bumiputera bagi setiap projek perumahan yang dibina di negeri ini, bukan dasar yang bersifat perkauman.

Exco Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim berkata pelepasan kuota Bumiputera hanya dibuat setelah pembinaan 70 peratus siap dan mematuhi syarat ditetapkan termasuk mengiklankan dalam akhbar dan radio.

"Pelepasan kuota juga perlu mendapat ulasan daripada pejabat daerah dan tanah, pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP)," katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Kepayang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Jumaat.

Rusnah berkata berdasarkan statistik pada 2014, sejumlah 2,082 permohonan untuk pelepasan kuota Bumiputera direkodkan dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,247 telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

"Baki daripada jumlah itu kita tidak luluskan kerana merasakan tidak cukup promosi untuk pembeli Bumiputera disebabkan kawasan itu dilengkapi dengan infrastruktur dan kemudahan utiliti yang sesuai untuk golongan Bumiputera," katanya.

Sementara itu, Rusnah berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan penyelarasan dengan semua jabatan dan agensi yang mengurus pembangunan perumahan supaya melaksanakan pembangunan secara strategik, terancang dan berteraskan kepada permintaan serta keperluan masyarakat.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan menyelaras pembangunan rancangan perkampungan tersusun untuk penduduk pinggir dan luar bandar.

"Menerusi integrasi pembangunan perumahan ini, kerajaan negeri dapat mengumpul data seperti jumlah, jenis dan permintaan rumah di negeri ini," katanya menurut Bernama.

Kuota Perumahan

Artikel Berikut

Artikel Lain