suria

Hutang Kereta Punca Muflis

GAMBAR HIASAN

HUTANG pinjaman kereta dikenal pasti menjadi punca utama kalangan rakyat mengalami muflis.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), Datuk Abdul Rahman Putra Taha, daripada sejumlah orang yang mengisytiharkan muflis di negara kita, seramai 34.42 peratus adalah terdiri kalangan rakyat yang berusia antara 35 hingga 44 tahun.

"Perangkaan menunjukkan daripada tahun 2013, sehingga Februari tahun ini, sebanyak 23,191 kes muflis telah tercatat disebabkan tidak berupaya menjelaskan hutang pinjaman kereta.

Jumlah ini adalah sebanyak 27.18 peratus daripada punca keseluruhan kes muflis," katanya seperti yang diberitahu kepada Nanyang Siang Pau.

Baru-baru ini, sidang Parlimen meluluskan pindaan Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) yang menetapkan nilai minimum kebankrapan dinaikkan kepada RM50,000 daripada jumlah sebelum ini iaitu sebanyak RM30,000 dengan mengambil kira faktor inflasi, nilai mata wang dan keadaan ekonomi semasa.

Bagi mengelakkan terjebak dalam masalah muflis, Abdul Rahman menasihatkan orang ramai agar bijak mengurus kedudukan kewangan sendiri.

"Semua orang perlu menguruskan kedudukan kewangan dengan betul, bukan sahaja dari segi pinjaman, tetapi juga ketika melakukan perbelanjaan," katanya.

Menurutnya, mengikut undang-undang, sekiranya seseorang itu telah diisytiharkan muflis, beliau akan menghadapi pelbagai masalah berbangkit seperti akaun bank dibekukan, tidak boleh meninggalkan negara, tidak boleh menjalankan perniagaan dan banyak lagi.

Ketika perkhidmatan pengangkutan awam di negara kita masih dalam peringkat transformasi, perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar dilihat semakin menerima sambutan yang menggalakkan.

Justeru, rakyat jelata khususnya pengguna berharap kerajaan dapat segerakan pembentangan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 bagi membolehkan perkhidmatan Uber dan GrabCar disahkan sebagai perkhidmatan awam di negara kita.

Dengan meluluskan perkhidmatan e-hailing ini, ia bukan sahaja menguntungkan pemandu, malahan pengguna turut berpeluang menikmati harga dengan lebih murah dan perkhidmatan lebih cepat.

Seorang penumpang, Ho Tze Yang memberitahu China Press, beliau memilih Uber kerana perkhidmatannya lebih murah dan cepat selepas dipanggil.

"Untuk pergi ke sekolah, saya terpaksa bayar teksi sebanyak RM22 dari rumah ke sekolah. Tetapi berbanding dengan Uber, saya hanya dikenakan sebanyak RM16 sahaja. Saya setuju jika Uber dan GrabCar dibenarkan untuk beroperasi di negara kita secara sah," katanya.

Sekiranya sidang Parlimen diluluskan, pindaan itu mencadangkan kenderaan e-hailing menjadi satu kenderaan perkhidmatan awam tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Walaupun sekatan keluaran modal dikuatkuasakan Kerajaan China sehingga membabitkan pembelian projek pembangunan Forest City di Gelang Patah, ekonomi Johor tetap tidak terjejas sebaliknya berkembang maju.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Datuk Tee Siew Kiong menjelaskan pembangunan ekonomi Johor bukan hanya bergantung kepada Forest City semata-mata, oleh itu keputusan yang dibuat Kerajaan China tidak memberi tamparan hebat kepada negeri ini.

"Pembangunan ekonomi Johor dibahagikan kepada sembilan sektor yang besar, sektor hartanah adalah salah satu daripadanya. Banyak projek perindustrian masih rancak dijalankan di Johor. Secara keseluruhannya, ia tidak membawa sebarang kesan negatif," katanya kepada Sin Chew Daily.

Siew Kiong memberitahu, sejak 2015, jumlah pelaburan China di Johor telah meningkat dengan banyak kerana selain projek hartanah, ia turut terbabit dalam sektor pelancongan dan perindustrian.

Forest City yang dimajukan Country Garden Pacificview Sdn Bhd itu, bukan hanya sekadar sebuah kondominium tetapi turut menyediakan kemudahan perdagangan, perniagaan, pemasaran dan kewangan. - SINAR ONLINE

Hutang Kereta

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain