suria

Kes Saman Anwar Terhadap Nallakaruppan, Utusan Selesai

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah RM100 juta difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Senator Tan Sri S. Nallakaruppan dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd (UMMB) selesai melalui proses mediasi di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman tersebut adalah berhubung dakwaan yang mengaitkan bekas Ketua Pembangkang itu dengan aktiviti biseksual yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar merekodkan penghakiman persetujuan itu dalam kamarnya dengan dihadiri Anwar, Nallakaruppan dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak.

Turut hadir peguam Latheefa Koya mewakili Anwar, Sarah Abishegam mewakili Nallakaruppan dan Wan Azmir Wan Majid bertindak bagi pihak UMMB dan Abdul Aziz.

Latheefa ketika ditemui pemberita berkata penghakiman persetujuan telah dicapai antara Anwar dengan ketiga-tiga defendan iaitu Nallakaruppan telah menjelaskan kenyataan yang dibuat terhadap Anwar berhubung dakwaan salah laku moral. 

"Plaintif (Anwar) berpuas hati dengan penjelasan Nallakaruppan dan menarikbalik tuntutan saman tersebut," kata peguam itu yang turut memaklumkan satu kenyataan penyelesaian akan disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia dalam masatujuh hari dari hari ini.

Dalam saman yang difailkan pada 26 Mac 2012, Anwar mendakwa Nallakaruppan telah mengeluarkan kenyataan dalam artikel yang disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertajuk: "Anwar biseksual, tak boleh jadi Ketua Pembangkang -Nalla" bertarikh 20 Mac 2012.

Anwar mendakwa perkataan fitnah itu adalah palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan niat jahat untuk memburukkan dan mencemarkan reputasinya sebagai ketua pembangkang serta sebagai seorang ahli politik.

Anwar menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. -Bernama

Kes Saman, Anwar Ibrahim, Utusan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Perbahasan RUU355 Ditangguh

Artikel Lain