suria

Grab, Uber Sambut Baik Pembentangan RUU 'E-Hailing'

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Uber dan Grab menyambut baik pembentangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen pada Selasa bagi membolehkan kedua-dua syarikat itu menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang sah.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, peruntukan undang-undang itu merupakan langkah positif dalam menambah baik rangkaian dan perkhidmatan pengangkutan di negara ini.

Sebagai perkhidmatan kenderaan 'e-hailing', kata Goh, pihaknya sentiasa memberi tumpuan untuk memenuhi keperluan rakyat sama ada pemandu atau penumpang.

“Ia adalah langkah terbaik dalam memanfaatkan ekonomi digital sebagai sumber pendapatan yang berdaya maju untuk mereka di luar sana.

“Kami melihat perkara ini sebagai pengesahan kepada orang ramai yang mahu mendapatkan pilihan pengangkutan alternatif yang selamat, selesa, mudah dan berpatutan,” katanya dalam kenyataan kepada mStar Online pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Pindaan itu mencadangkan supaya kenderaan ‘e-hailing’ menjadi satu kenderaan perkhidmatan awam tertakluk kepada lesen perniagaan pengantaraan.

Sean Goh. 

Goh berkata, Grab akan terus mengikuti perkembangan untuk merealisasikan industri ‘e-hailing’, di samping bekerjasama dengan kerajaan dan rakan niaga bagi memahami dasar dan mengkaji semula operasi syarikat.

“Pada masa sama, kami juga akan membantu apa jua cara sebaik mungkin sepanjang tempoh peralihan ini.

“Komitmen pihak berkuasa dan kerajaan ke arah ekonomi digital yang lebih baik di Malaysia pastinya mendorong syarikat untuk membawa inovasi kepada industri dan melonjaknya ke tahap lebih tinggi,” tambahnya.

Sementara itu, jurucakap Uber berkata, ia merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap perkhidmatan perkongsian kenderaan yang memberi sumbangan positif kepada pemandu, penumpang dan bandar.

“Peruntukan undang-undang ini mempunyai potensi untuk melangkah ke hadapan dalam menyelesaikan isu mobiliti bandar dan mentransformasi landskap negara.

“Kami berharap untuk meneruskan penglibatan dengan kerajaan dalam menyediakan pilihan pengangkutan awam kepada rakyat,” katanya.

Pada Selasa, Nancy turut membentangkan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama yang antara lain mencadangkan takrif kenderaan 'e-hailing' dimasukkan ke dalam Jadual Pertama Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 ini termasuk peruntukan bahawa tiada seorang pun boleh mengendalikan perniagaan pengantaraan melainkan jika ia memegang lesen yang dipohon daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). 

Nancy berkata, kedua-dua RUU akan dibentang untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Uber, Grab

Artikel Berikut

Dua Ahli Geng Mamak Tumpas

Artikel Lain