suria

Hanya 40 Pemegang Kad UNHCR Etnik Rohingya Daftar Projek Kebenaran Bekerja

KUALA LUMPUR: Hanya 40 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) daripada etnik Rohingya berminat dengan Projek Perintis Kebenaran Bekerja di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata sasaran untuk projek itu ialah seramai 300 orang.

"Ini bermakna, mereka sudah berada dalam pasaran pekerjaan. Yang datang kepada kita baru 40 orang, belum capai 300 sasaran. Untuk makluman, terdapat lebih 60,000 pemegang kad UNHCR ketika ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai bantuan kerajaan terhadap pelarian etnik Rohingya yang berada di negara ini.

Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk pemegang kad UNHCR yang bermula 1 Mac lepas diberikan kepada pelarian etnik Rohingya yang melepasi tapisan keselamatan dan saringan kesihatan untuk bekerja secara berperingkat.

Shahidan berkata mereka akan ditempatkan di syarikat-syarikat terpilih dalam sektor perladangan dan pengilangan bertujuan untuk memberikan kemahiran dan sumber kewangan bagi membina kehidupan sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal.

Terdahulu, Shahidan berkata Malaysia setakat ini tidak menganggotai Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 kerana tidak mampu melaksanakan sepenuhnya hak dan tanggungjawab sebagai negara anggota terhadap konvensyen dan protokol itu.

Katanya sesebuah negara anggota bagi konvensyen dan protokol itu, pelarian perlu diberikan hak-hak sebagaimana dinikmati oleh warganegara seperti akses bekerja, kemudahan hospital kerajaan dan klinik kesihatan percuma, akses pendidikan di sekolah kerajaan dan sebagainya.

"Dalam kalangan negara ASEAN, hanya Filipina dan Kemboja merupakan anggota konvensyen dan protokol ini," tambahnya menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai pendirian kerajaan terhadap kedatangan pelarian etnik Rohingya ke negara ini. - BERNAMA

kad UNCHR, Rohingya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Borhan Dilantik KSU KKLW

Artikel Lain