suria

Borhan Dilantik KSU KKLW

Ali menyerahkan surat pelantikan sebagai KSU KKLW kepada Borhan.

PUTRAJAYA: Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Borhan Dolah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang baharu, berkuat kuasa Rabu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri  Dr Ali Hamsa menyambut baik pelantikan tersebut dan memberi kepercayaan penuh kepada Borhan dalam melaksanakan tugasnya.

“Saya percaya dengan pengetahuan, pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki, beliau akan melaksanakan tanggungjawab di KKLW dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan,”katanya dalam kenyataan media.

Borhan, 57 tahun, berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Malaya dan Sarjana Pentadbiran Awam dari University of Hartford, Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau  telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama lebih 31 tahun apabila mula menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 13 Januari 1986 dan berpengalaman luas dalam bidang pembangunan sumber manusia serta pengurusan projek dan kewangan menerusi karier perkhidmatan.

Antara jawatan yang pernah dipegang sebelum ini termasuklah Setiausaha Persekutuan Sabah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Kewangan) dan Ketua Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan.- Sinar Harian


Ali, Borhan Dolah, KKLW

Artikel Lain