suria

Malaysia Peruntuk 15 Peratus Tempat Bagi Pelajar Asing - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi. -fotoBERNAMA

NEW DELHI: Malaysia akan memperuntukkan 15 peratus daripada tempat di universiti awam untuk pelajar asing sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk meliberalisasi sistem pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada sidang media bersama dengan rakan sejawatannya dari India Narendra Modi, Najib berkata pelajar dari India boleh merebut peluang untuk mengikuti pengajian di Malaysia sebagai sebahagian daripada pengiktirafan bersama terhadap kelayakan pendidikan antara kedua-dua negara.

"Pendidikan adalah amat penting dan saya mengucapkan terima kasih kepada India kerana menyediakan tempat bagi pelajar Malaysia (di India), terutama dalam bidang perubatan dan pergigian," kata beliau selepas mesyuarat delegasi dengan Modi di Hyderabad House sempena lawatan beliau selama enam hari ke India.

Sebelum sidang media itu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu perjanjian antara kedua-dua negara, termasuk satu antara Association of Indian Universities (AIU), New Delhi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mengenai Pengiktirafan Bersama Kelayakan Pendidikan untuk menggalakkan pelajar meneruskan pengajian di negara antara satu sama lain dalam semua bidang.

Najib juga mengumumkan satu lagi inisiatif untuk meningkatkan sektor pelancongan yang akan menyaksikan pelancong India memperoleh visa tanpa bayaran dengan kelulusan dalam tempoh 48 jam untuk lawatan 15 hari dan pelbagai kemasukan.

"Saya memberitahu Perdana Menteri Modi, kita telah mengambil keputusan  untuk membenarkan visa tanpa bayaran. Ini akan meningkatkan sektor pelancongan dan hubungan rakyat dengan rakyat," kata beliau.

Jumlah pelancong dari India menurun daripada 722,141 orang pada 2015 kepada 638,578 orang tahun lepas.

Pada sidang media itu, Najib, yang tiba di negara itu pada Khamis, berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada Modi kerana pelbagai kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat Malaysia termasuk projek infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya.

Najib menyifatkan hubungan antara kedua-dua negara berada di tahap tertinggi dalam sejarah dan menambah cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan ammonia di Malaysia adalah amat signifikan oleh pelabur India.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin berharap Perjanjian Perkongsian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (RCEP) dapat dimuktamadkan menjelang akhir 2017 sambil menambah kerjasama perdagangan yang baharu adalah perlu selepas "pembubaran" Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP).

Modi, yang melawat Malaysia pada 2015, berkata mereka bersetuju untuk meningkatkan perkongsian strategik dengan memberi keutamaan kepada pendekatan berorientasikan tindakan dan meneroka bidang-bidang baharu bagi kerjasama.

Beliau berkata India mengalu-alukan syarikat-syarikat Malaysia untuk memanfaatkan peluang perniagaan yang luas termasuk penubuhan 100 bandar pintar dan banyak projek infrastruktur. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dialog Tun M - Nazri Batal

Artikel Lain