suria

Tuduhan Pembangkang Hanya Untuk Raih Sokongan Rakyat

Ahmad Bashah Md Hanipah

SUNGAI PETANI: Tuduhan pembangkang kononnya Kedahdiabaikan oleh Kerajaan Persekutuan hanya bertujuan meraih sokongan rakyat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, tuduhan itu seharusnya disertakan dengan bukti jika benar ia berlaku.

"Dia (pemimpin pembangkang) kata terabai tetapi sebelum dia jadi pembangkang, tidak sebut pun bahawa Kedah diabaikan, tunjukkan apa yang terabai.

"Pada saya itu tuduhan untuk meraih sokongan dan mengelirukan rakyat, itu kerja pembangkang, supaya rakyat simpati kepada pembangkang, mengundi mereka dan menolak kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negeri Kedah di University Aimst di sini, Sabtu.

Menteri Besar mengulas dakwaan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang Kedah diabaikan oleh Kerajaan Persekutuan walaupun BN kembali berkuasa di negeri ini selepas pilihan raya umum lalu.

Ahmad Bashah berkata, Kedah menerima banyak bantuan daripada Kerajaan Persekutuan antaranya peruntukan RM320 juta menerusi NCIA (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara), untuk pelaksanaan projek Rubber City dan Taman Sains dan Teknologi Kedah.

Dalam perkembangan lain, beliau menyatakan yakin warga Kemas di negeri iniakan terus setia dan memberi sokongan padu kepada Kerajaan.

"Setakat ini tiada laporan diterima berhubung warga Kemas terlibat atau menyokong parti pembangkang kerana saya yakin mereka sedar akan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka.

"Namun jika didapati ada yang bertindak demikian, kita mohon mereka mengundur diri secara sukarela kerana jabatan akan mengambil tindakan jika mempunyai bukti kukuh," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Dialog Tun M - Nazri Batal

Artikel Lain