suria

Akta Buruh Akan Dikaji Elak Diskriminasi Wanita Mengandung

KUALA LUMPUR: Undang-undang buruh akan dikaji semula bagi mengelakkan majikan mengamalkan sikap diskriminasi terhadap golongan wanita mengandung.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, pihaknya akan meneliti Akta Pekerja dan 21 undang-undang yang sedia ada untuk meningkatkan tahap kebajikan pekerja termasuk menghalang berlakunya diskriminasi jantina.

"Kita akan mengkaji dan menambahbaik undang-undang buruh bagi membangkitkan masalah yang dihadapi pekerja termasuk isu diskriminasi," kata beliu ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) pada Dewan Rakyat, Isnin.

Ismail berkata, tiada peruntukkan khas dalam undang-undang buruh yang sedia ada untuk menangani kes diskriminasi terhadap golongan wanita mengandung.

"Tiada peraturan yang menyatakan bahawa menjadi satu kesalahan jika sesebuah majikan tidak mengambil wanita mengandung bekerja.

"Perkara ini bergantung kepada budi bicara majikan tetapi tidak boleh wujud sebarang unsur diskriminasi," katanya.

Bagaimanapun Ismail berkata, Jabatan Buruh akan menyiasat sama ada aduan tentang diskriminasi terhadap wanita mengandung telah dikemukakan.

"Antara 2014 dan 20116, terhadap satu kes sahaja yang menyebut seorang wanita yang sedang berpantang berdepan masalah diskriminasi.

"Siasatan lanjut telah dijalankan dan pihak majikannya telah diberikan nasihat berhubung isu tersebut," katanya.

Zuraida menyoal sama ada kerajaan merancangt untuk memperkenalkan Akta Diskriminasi Kehamilan bagi melindungi pekerja wanita.

Memetik kajian Pertubuhan Bantuan Wanita, Zuraida berkata, 90 peratus pekerja wanita berdepan diskriminasi, dan 40 peratus daripadanya berlaku apabila mereka menjadi prospek untuk dinaikkan pangkat.

"Antara 20 dan 30 peratus wanita mendakwa, mereka terpaksa menangguhkan hasrat untuk berkeluarga bagi mengelakkan diskriminasi," katanya.

Ismail memberi jaminan bahawa Jabatan Buruh akan menyiasat aduan tentang diskriminasi dan mengambil tindakan sekiranya perkara itu berlaku.

Beliau memberi amaran, mana-mana majikan yang menamatkan kontrak pekerja wanita yang sedang cuti bersalin, akan dikenakan denda sebanyak RM10,000.

Beliau memberitahu sidang bahawa terdapat 209,000 pekerja wanita yang menganggur daripada jumlah keseluruhan 5.6 juta pekerja wanita.

Ismail Abd Muttalib

Artikel Lain