suria

Jong-nam: Sabar Sikit Saja Lagi - Reezal Merican

KUALA LUMPUR: Penyelesaian kepada kes pembunuhan lelaki Korea, Kim Jong-nam dijangka diumumkan tidak lama lagi dengan yang terbaharu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta semua pihak supaya bersabar.

Timbalan Menteri Luar itu berkata pengumuman dan pengesahan yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak akan dimaklumkan apabila tiba masanya.

"Minta bersabar sikit saja lagi. Ia akan diberitahu apabila masanya tiba.

"Tidak ada yang akan disembunyikan dan tiada apa yang tidak akan diberitahu," katanya pada sidang media di Parlimen di sini,  Isnin.

Reezal bagaimanapun enggan mengulas lanjut bila atau siapa yang akan mengumumkan tentang pengakhiran kes itu yang sudah berlarutan selama lebih dari satu bulan.

Reezal berkata beliau akan cuba menjawab apa sahaja soalan yang diajukan kepadanya termasuklah hal-hal peribadi, tetapi tidak dapat menjawab tentang kes pembunuhan Jong-nam yang disifatkan berprofil tinggi.

"Saya akan jawab apa yang boleh, malah kalau tanya peribadi saya pun saya mungkin akan jawab.

"Tapi untuk kes tahap ini, ia tak boleh dimaklumkan menerusi media begitu sahaja" katanya.

Kes ini kembali mendapat perhatian media selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada Ahad membayangkan kerajaan akan memutuskan segera tindakan ke atas mayat Jong-nam yang juga abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Katanya beberapa keputusan sudah dicapai dan beliau yakin satu pengumuman akan dibuat segera dan besar kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkannya.

Ini diperkuatkan lagi dengan satu laporan media Jepun menyatakan beberapa pegawai Korea Utara berada di Kuala Lumpur untuk berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai kes Jong-nam.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 ketika menungggu penerbangan ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.

Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Kim Jong-nam, Reezal Merican

Artikel Lain