suria

Awas 'Bom Jangka' Di Rumah Anda

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Berapa banyak peralatan elektrik di rumah anda?

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), penggunaan peralatan elektrik berlebihan yang berfungsi hampir 24 jam sehari ibarat seperti 'bom jangka' yang boleh mengundang risiko berlakunya kebakaran.

Penolong Ketua Pengarah bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Zulkarnain Md Kassim berkata ramai dalam kalangan masyarakat tidak sedar bahawa gaya hidup masa kini dan peningkatan taraf hidup menyebabkan mereka terlupa akan 'bom jangka' berkenaan.

"Apabila kita meletakkan peralatan elektrik yang baharu, jadi berlaku arus ulang-alik yang lebih dan ia sebenarnya boleh mengundang risiko berlakunya kebakaran," katanya kepada Bernama di sini. 

Peningkatan taraf hidup dan gaya hidup masa kini, ramai kalangan rakyat Malaysia kini rata-ratanya memiliki lebih daripada satu unit peralatan elektrik seperti sistem penghawa dingin, peti sejuk, sistem dapur elektrik, mesin basuh, televisyen, komputer dan sebagainya. 

"Ini tidak termasuk lagi jumlah pengecas telefon bimbit untuk setiap anggota keluarga kerana terdapat kes kebakaran berlaku daripada percikan api daripada telefon bimbing yang sedang dicaj," katanya.

Beliau berkata sebuah rumah standard di Malaysia dibekalkan dengan voltan 240V dan ia jauh lebih tinggi berbanding rumah di Jepun yang dibekalkan hanya 110V.

Zulkarnain berkata penggunaan elektrik berlebihan juga akan menyebabkan berlakunya litar pintas akibat sistem pendawaian tidak diselenggara dengan baik.

Berdasarkan kajian JPBM, faktor pengunaan elektrik berlebihan dan sistem pendawaian yang tidak diselenggara dengan baik, menjadikan ruang dapur dan ruang tamu rumah sebagai kawasan tercetusnya kebakaran.

"Cuaca di Malaysia, berlakunya musim hujan dan panas, menyebabkan pendawaian elektrik mudah reput atau rosak, masyarakat perlu sedar bahawa sistem pendawaian dan wayar elektrik perlu diperiksa atau ditukar setiap 10 tahun," katanya.

Selain itu, Zulkarnain berkata setiap rumah juga perlu memiliki alat pengesan asap atau alat pemadam api. 

"Pemadam api boleh beli dan harga dalam RM200, manakala untuk pemasangan  pengesan asap ia adalah jauh lebih murah dan hanya memerlukan bateri dan boleh didapati dengan harga sekitar RM80," katanya. 

Beliau berkata mengikut statistik tahun 2016, sebanyak 28 kes kematian dilaporkan berlaku melibatkan rumah kediaman dan masyarakat perlu melihatnya sebagai sesuatu yang serius.

Antara kes kematian akibat kebakaran ialah empat sekeluarga dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Subang Jaya pada 6 Feb lepas dan tiga di sebuah rumah teres di Taman Wangsa Permai, Kepong, di sini pada 14 Februari lepas.

Kes terbaru melibatkan seorang kanak-kanak ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah teres setingkat di Dengkil, Selangor pada 15 Mac lepas.

Kebakaran itu dipercayai berlaku akibat litar pintas.

JBPM, Bomba, Kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain