suria

Seorang Wanita Maut, Sembilan Cedera Dalam Nahas Di Port Dickson

GAMBAR HIASAN

SEREMBAN: Seorang wanita maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 260, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Port Dickson, malam Rabu.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, K. Putthiganami berkata dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, penumpang kereta Toyota Innova berusia 45 tahun itu maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang cedera ialah empat orang dewasa iaitu seorang lelaki dan tiga wanita serta empat kanak-kanak serta remaja berusia lingkungan tiga hingga 16 tahun, katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Katanya, kereta Toyota Vios yang dinaiki tiga sekeluarga terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan berhenti di tengah lebuh raya itu sebelum dirempuh oleh sebuah kereta Toyota Innova yang dinaiki tujuh sekeluarga dan kereta Proton Preve yang dinaiki pasangan suami isteri.

"Kemalangan itu juga menyebabkan enjin Preve itu terbakar. Bagaimanapun, paaangan suami isteri itu tidak mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum 10 anggota bomba tiba di lokasi," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja' afar di sini untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan.

Kemalangan, Port Dickson

Artikel Lain